EP Blueshark pasang motosikal EV, SoloEra Solo 1C di Glenmarie

EP Manufacturing, Blueshark pasang motosikal EV, SoloEra Solo 1C di Glenmarie

EP Manufacturing Berhad bersama Blueshark memulakan pemasangan tempatan untuk motosikal elektrik SoloEra Solo 1C di Glenmarie, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) bersama Blueshark Malaysia Sdn. Bhd. (Blueshark), sebuah syarikat mobiliti teknologi kenderaan elektrik (EV) memulakan pemasangan tempatan untuk motosikal elektrik SoloEra Solo 1C di fasiliti pengeluaran EPMB dekat Glenmarie, Shah Alam.

Usaha sama tersebut melalui anak syarikatnya, EP Blueshark Sdn Bhd (EP Blueshark) tersebut mencerminkan komitmen bersama EPMB dan Blueshark untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan cita-cita sifar bersih Malaysia.

Menurut kenyataannya, ia juga mempamerkan kekuatan perkongsian yang semakin meningkat, menggabungkan kepakaran pembuatan EPMB dengan teknologi EV Blueshark untuk memajukan peralihan Malaysia ke arah mobiliti mampan.

“Fasiliti Glenmarie mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 12,000 motosikal elektrik setiap tahun. Berdasarkan momentum ini, pemasangan tempatan model Solo 2 dan Solo 3 berprestasi tinggi kini sedang dijalankan.

“Peluasan ini bukan sahaja meluaskan pilihan pengguna tetapi juga menggariskan visi bersama untuk meletakkan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan EV dua roda (2WEV) di ASEAN dan seterusnya,” katanya.

Bagi memperingati pencapaian ini, EPMB menganjurkan lawatan tapak untuk pemegang kepentingan utama termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Blueshark.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri.

Hanafi berkata, kejayaan yang dicapai oleh EPMB dan Blueshark itu menetapkan tahap penerimaan 2WEV di Malaysia dan rantau ini.

“Pengeluaran besar-besaran kenderaan EV termaju oleh EPMB, pengeluar automotif tempatan, dengan kerjasama Blueshark, pemain mobiliti elektro yang mapan penting dalam memacu Malaysia ke arah sasaran NETR dan elektrifikasi kenderaannya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EP Manufacturing, Aidan Hamidon berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan permulaan pengeluaran motosikal elektrik SoloEra di fasiliti Glenmarie.

“EPMB terus mengorak langkah ke hadapan dalam pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) dan memajukan penyelesaian mobiliti generasi seterusnya di Malaysia dan lebih lagi,” jelasnya.

Solo 1C telah mendapat minat yang luar biasa daripada rakyat Malaysia dengan 6,000 pendaftaran dalam masa lebih sebulan selepas promosi pra pelancaran masa terhad pada bulan Julai.

Dengan harga serendah RM599, kempen itu menjadikan Solo 1C sebagai satu daripada motosikal elektrik yang paling mudah diakses di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN