KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berada pada pertumbuhan sihat apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan berikutan keadaan pasaran pekerjaan yang positif serta pelaksanaan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan seperti semakan gaji minimum dan kenaikan gaji penjawat awam.
Katanya, pengembangan pelaburan yang lebih kukuh turut disumbangkan oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada. Sektor eksport pula berkembang perlahan akibat pengurangan eksport komoditi, namun sebahagiannya diimbangi oleh prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh serta peningkatan aktiviti pelancongan.
“Dari segi penawaran, pertumbuhan banyak dipacu oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan, manakala sektor perlombongan menguncup akibat pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
“Pada asas suku tahunan terlaras bermusim, pertumbuhan ekonomi berkembang 2.1 peratus berbanding 0.7 peratus pada suku pertama.Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus, manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus berbanding 1.5 dan 1.8 peratus pada suku sebelumnya.
“Penurunan itu disebabkan oleh harga bahan api lebih rendah seperti petrol RON97 dan diesel, serta peningkatan harga makanan yang lebih perlahan.Namun, penurunan ini sedikit diimbangi oleh penurunan harga yang lebih perlahan bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku kedua 2025, di sini, hari ini.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang dibuat hanya dalam tempoh beberapa hari sebelum tarif import AS ke atas barangan Malaysia dimuktamadkan pada 19 peratus.
Pada Julai, BNM telah menyemak semula jangkaan pertumbuhan ekonomi daripada 4.5 hingga 5.5 peratus kepada empat hingga 4.8 peratus untuk tahun ini.
Jelas beliau, unjuran tersebut telah mengambil kira pelbagai senario kemungkinan tarif oleh AS.
“Kini kita beroperasi dalam persekitaran berbeza, di mana perubahan berlaku begitu pantas dan ketidaktentuan menjadi norma baharu yang menjadikan proses untuk membuat unjuran begitu mencabar.
“Untuk itu, perlu ada andaian yang cukup meluas untuk menangkap pelbagai kemungkinan dan unjuran yang dibuat telah mengambil kira kepelbagaian kemungkinan ini,” katanya.
Mengulas mengenai kadar asas semalaman (OPR), Abdul Rasheed berkata, BNM telah mengurangkan kadar itu kepada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Julai 2025 sebagai langkah berhemah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya, walaupun ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, ketidakpastian luaran berpotensi menjejaskan prospek ekonomi domestik.
“Dengan inflasi dijangka kekal sederhana, OPR dikurangkan sebagai langkah untuk melindungi ekonomi kita daripada ketidakpastian ini dan, yang penting, mengekalkan laluan pertumbuhan Malaysia yang stabil,” katanya.
Tambah beliau, sejak pemotongan OPR itu, terdapat kejelasan dalam persekitaran luaran, khususnya mengenai hasil rundingan tarif baru-baru ini.
“Pemotongan ini dijangka memberikan dorongan tambahan kepada pertumbuhan domestik dalam keadaan inflasi sederhana, sambil BNM terus memantau kesannya terhadap ekonomi.
“Walaupun ketidakpastian berkaitan tarif sektor tertentu masih wujud, yang penting ialah ekonomi Malaysia kekal berada pada asas yang kukuh. Ke hadapan, MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko yang berkaitan dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” tambahnya.
Mengulas prospek ekonomi, Abdul Rasheed berkata, walaupun landskap global kekal mencabar dengan ketidakpastian tarif perdagangan, Malaysia berada dalam kedudukan kukuh hasil permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan terhadap barangan E&E, struktur eksport pelbagai serta pelaksanaan pembaharuan struktur.
Beliau menjangkakan inflasi keseluruhan berpurata antara 1.5 hingga 2.3 peratus pada 2025, sejajar dengan keadaan kos dan permintaan yang sederhana.
“Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad, manakala kesan langkah dasar dalam negeri terhadap inflasi akan terus terkawal,” katanya. – UTUSAN










