PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berada di bawah empat peratus pada suku ketiga, didorong oleh kelembapan berterusan dalam ekonomi global, setelah berkembang 4.4 peratus pada suku sebelumnya,
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka berada dalam 3.7 peratus hingga 3.8 peratus bagi separuh kedua 2025, berikutan tekanan luaran seperti kelemahan permintaan global, ketidaktentuan pasaran kewangan serta gangguan dalam rantaian bekalan global.
“Kami melihat risiko ke bawah terhadap pertumbuhan kekal tinggi, terutamanya disebabkan oleh faktor-faktor luaran yang terus memberi kesan kepada perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus yang berkuat kuasa secara global sepanjang suku kedua turut memberi kesan ketara, khususnya terhadap sektor berorientasikan eksport.
“Tarif sememangnya ada menyumbang kepada penyusutan pertumbuhan. Kesan paling ketara dilihat dalam industri yang bergantung kepada pasaran eksport, terutamanya ke Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Mohd. Afzanizam berkata, antara sektor yang paling terjejas termasuk industri perabot, panel solar serta pelbagai produk pembuatan lain yang sebelum ini bergantung kepada pasaran luar negara untuk pertumbuhan.
“Kenaikan kos akibat tarif ini telah menjejaskan daya saing pengeluar tempatan di pasaran global, mengurangkan volum eksport dan menyempitkan margin keuntungan.
“Walaupun terdapat sokongan daripada perbelanjaan domestik dan inisiatif fiskal kerajaan, sektor eksport kekal sebagai cabaran utama kepada prestasi ekonomi pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula menyatakan masih ada ruang untuk pertumbuhan sederhana.
“Saya menjangkakan masih ada peningkatan mungkin sekitar empat peratus, walaupun pertumbuhan sedikit perlahan,” katanya.
Beliau berkata, sektor perkilangan mungkin menguncup disebabkan eksport yang menurun, tetapi beberapa sektor domestik masih menunjukkan daya tahan.
Tambah beliau, eksport semakin mengecil berikutan kos eksport yang meningkat, sekali gus menyukarkan syarikat tempatan untuk mengekalkan margin keuntungan dalam pasaran antarabangsa.
Dalam keadaan semasa, sokongan daripada perbelanjaan domestik dan inisiatif kerajaan dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pada baki tahun ini.
Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada pertumbuhan sihat apabila KDNK meningkat sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Beliau berkata, prestasi itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan berikutan keadaan pasaran pekerjaan yang positif serta pelaksanaan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan seperti semakan gaji minimum dan kenaikan gaji penjawat awam. – UTUSAN










