Cukai rokok dan alkohol jadi tumpuan pada Belanjawan 2026 

Cukai rokok dan alkohol jadi tumpuan pada Belanjawan 2026 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka akan memberi penekanan kepada meningkatkan cukai rokok dan alkohol pada Belanjawan 2026, dalam usaha untuk menambah pendapatan negara melalui cukai serta meminimumkan ketirisan.

Pensyarah Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, ini kerana cukai tersebut tidak terkesan kepada semua rakyat negara ini dan memandangkan kebanyakan cukai utama yang lain telah dilaksanakan termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah sangat rendah berbanding negara serantau iaitu hanya sekitar 12 peratus.

“Angka ini perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 15 peratus dalam jangka pendek dan sekitar 20 peratus dalam jangka sederhana agar setara dengan negara serantau yang cukainya menyumbang lebih tinggi pada KNDK negara.

“Hasil cukai yang lebih tinggi diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, sumbangan daripada pendapatan cukai yang lebih tinggi pada KDNK juga lebih mampan kepada negara dalam persekitaran luaran tidak menentu ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kim Leng berkata, selain cukai rokok dan alkohol, cukai kesihatan seperti cukai gula juga berkemungkinan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan dijangka akan melaksanakan usaha untuk merangsang ekonomi, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin meningkat, bagi mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun depan.

“Belanjawan akan berdepan cabaran disebabkan ketidaktentuan ekonomi dari luar negara.

“Ia perlu memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pemodenan ekonomi serta menangani isu mendesak seperti kenaikan kos sara hidup, perlindungan sosial bagi golongan rentan dan perbelanjaan penting lain bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

“Adalah penting supaya perbelanjaan fiskal kekal berhemat bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan mengawal kenaikan hutang negara,” ujarnya.

Beliau berkata, belanjawan perlu digubal dengan mengambil kira kekangan fiskal, bertujuan mengecilkan defisit fiskal melalui pengurangan perbelanjaan yang tidak perlu, penggemblengan sumber dan peningkatan kecekapan cukai.

Mengulas mengenai usaha kerajaan untuk mempelbagaikan eksport, beliau berkata, Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran eksport untuk mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

“Memperkukuh hubungan dagangan dengan pasaran baharu melalui perjanjian perdagangan serantau akan membantu mengurangkan risiko kehilangan bahagian pasaran di AS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN