PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM253 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025, meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.
Prestasi ini menurun 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, terjejas oleh peningkatan kos overhed, peruntukan pembiayaan terjejas dan kos pembiayaan lebih tinggi.
Bank Islam berkata, perbelanjaan overhead meningkat 10.6 peratus kepada RM830.8 juta, hasil pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan, digital dan teknologi.
Selain itu, peruntukan bersih pembiayaan terjejas melonjak 57.6 peratus, sementara kos pembiayaan kredit meningkat 0.35 peratus.
Walaupun begitu, Bank Islam merekodkan pendapatan bersih meningkat 9.9 peratus kepada RM1.4 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya kini dalam fasa peralihan dengan fokus kepada pengoptimuman operasi dan penyatuan sumber bagi meningkatkan kecekapan serta penyampaian perkhidmatan pelanggan.
“Bank Islam terus melabur secara strategik dalam teknologi, infrastruktur dan inovasi untuk memastikan daya tahan serta kesiapsiagaan menghadapi keperluan masa hadapan. Langkah ini juga selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022–2026 yang mengiktiraf peranan industri kewangan Islam sebagai pemangkin pertumbuhan inklusif.
“Seiring berakhirnya pelan hala tuju strategik lima tahun Bank Islam (LEAP25) tahun ini, kumpulan akan memperhalusi strategi pertumbuhan seterusnya bagi memberi nilai mampan kepada pelanggan serta pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, lonjakan itu disokong oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang melonjak 66.5 peratus kepada RM291.9 juta, hasil peningkatan fi, komisen, keuntungan pelaburan sekuriti dan urus niaga pertukaran asing.
Pendapatan berasaskan dana juga berkembang 4.9 peratus kepada RM2.2 bilion, didorong pertumbuhan kukuh dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.
Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset meningkat 7.0 peratus ke paras RM99.5 bilion, manakala jumlah pembiayaan kasar naik 6.4 peratus kepada RM72.5 bilion.
Selain itu, deposit pelanggan dan akaun pelaburan bertambah 5.4 peratus mencapai RM82.7 bilion, dengan komposisi Akaun Semasa, Simpanan dan Akaun Pelaburan Transaksi (CASATIA) mencatat 35.2 peratus.
Kualiti aset kekal kukuh apabila nisbah pembiayaan terjejas kasar hanya 1.05 peratus, jauh lebih rendah berbanding purata industri 1.42 peratus.
Prestasi ini diterjemah kepada pendapatan sesaham 11.16 sen, manakala pulangan atas ekuiti tahunan bersih (ROE) mencapai 7.1 peratus.
Kedudukan modal kekal kukuh dengan Nisbah Jumlah Modal 20.3 peratus.-UTUSAN