Agrobank peruntuk RM100,000 perkasa 20 usahawan

Agrobank peruntuk RM100,000 perkasa 20 usahawan bagi projek penanaman nanas

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tengah) menyerahkan geran iTEKAD berjumlah RM100,000 kepada wakil peserta bagi tanaman nanas MD2 dengan kerjasama bersama Aqina Fruits Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank komited memperkasakan golongan asnaf dan B40 dengan memperuntukan RM100,000 melalui majlis penyerahan geran İTEKAD kepada 20 usahawan tani terpilih bagi melaksanakan projek penanaman nanas MD2 di Chuping, Perlis. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Agrobank dan Aqina Fruits Sdn. Bhd. yang turut melibatkan pelaksanaan projek tanaman nanas di beberapa lokasi lain iaitu di Beaufort dan Pekoti. 

“Bagi projek di Chuping dan Beaufort, jumlah peruntukan masing-masing adalah sebanyak RM6 juta, manakala projek di Pekoti menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM12 juta. 

“Secara keseluruhan, kerjasama antara Agrobank dan Aqina Fruits menerusi projek ladang kontrak di bawah model B40 ini menerima peruntukan dana berjumlah RM24 juta,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM280,000 bagi setiap peserta projek penanaman nanas itu untuk menampung modal permulaan. 

“Pada hari ini, seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada golongan B40 dan Veteran Angkatan Tentera menerima geran ITEKAD sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi menyokong pembelian peralatan tambahan untuk mengusahakan lot tanah seluas dua hektar yang disewa daripada Felda Global Ventures (FGV),” ujarnya. 

Projek penanaman nanas MD2 tersebut adalah antara usaha berterusan Agrobank dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. 

Selain itu, ia juga berperanan merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran nanas negara bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta potensi eksport ke luar negara.

Dalam pada itu, melalui inisiatif iTEKAD, beberapa program telah diperkenalkan seperti Program Pembiayaan Usahawan Mikro MAINJ, Program Rakan Ladang BERNAS, Program Skim Tanam Semula Kelapa Sawit serta Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.

Program-program ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosial usahawan dalam kalangan golongan asnaf dan B40 melalui gabungan tiga komponen utama termasuk penyediaan modal awal, pembiayaan mikro dan latihan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×