PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) meraih tiga anugerah berprestij pada Anugerah Credit Guarantee Corporation (CGC) 2024 baru-baru ini, sekali gus menegaskan kedudukannya sebagai rakan kewangan utama dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
CIMB Islamic dinobatkan sebagai penerima Rakan Kongsi Kewangan Terbaik (Keseluruhan) iaitu pengiktirafan tertinggi di bawah kategori Anugerah Rakan Kongsi Insititusi Kewangan (FI) CGC.
Anugerah itu mengiktiraf prestasi cemerlang bank dalam menyokong skim jaminan CGC dengan penilaian berdasarkan indikator utama seperti kutipan yuran jaminan dan kadar pemulihan berbanding kerugian kredit dijangka.
Pencapaian itu turut mencerminkan pengurusan risiko berdisiplin, penglibatan proaktif dalam inisiatif pembiayaan awam swasta dan komitmen berterusan bank terhadap penyelesaian kewangan inklusif serta bertanggungjawab yang memperkasa sektor PKS.
Selain itu, CIMB Islamic turut menerima anugerah Rakan Kongsi FI Terbaik dalam Institusi Kewangan Islam atas sumbangan signifikan dalam pembiayaan patuh syariah serta Rakan Kongsi FI Terbaik untuk PKS Bumiputera yang diberikan kepada institusi kewangan dengan capaian tertinggi kepada PKS bumiputera berdasarkan akaun diluluskan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pengiktirafan itu menonjolkan komitmen bank untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan patuh syariah yang menyokong pertumbuhan inklusif.
“Selaras dengan tujuan CIMB Group untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, kami terus komited menjadi rakan pilihan usahawan melalui program dan inisiatif tersusun.
“Ini termasuk pembiayaan khusus yang memenuhi keperluan PKS, bengkel pembangunan kapasiti serta kerjasama strategik yang memperluas akses pasaran dan sumber.
“Dengan menggabungkan sokongan kewangan dan bimbingan praktikal, kami berhasrat melengkapkan usahawan dengan alat yang diperlukan untuk berkembang secara mampan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang 2024, CIMB Islamic meluluskan 1,266 akaun pembiayaan bernilai RM694.4 juta, dengan 30 peratus daripadanya disalurkan kepada perniagaan bumiputera, sekali gus membuktikan usaha berimpak tinggi bank dalam segmen utama PKS.
Anugerah itu disampaikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour bersama Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin bersama Ahmad Shahriman.
Sementara itu, pengiktirafan itu menegaskan usaha berterusan CIMB dalam menyediakan penyelesaian kewangan berimpak yang memperkasa usahawan serta memacu pembangunan ekonomi mampan, selaras dengan aspirasi bank untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
Tiga anugerah berkenaan mengukuhkan lagi kepimpinan CIMB Islamic dalam menyediakan pembiayaan patuh syariah serta penyelesaian berasaskan keperluan yang menyokong pertumbuhan dan daya tahan sektor PKS di Malaysia. – UTUSAN










