PETALING JAYA: Citadel Group Technologies, anak syarikat Citadel Holdings telah melancarkan UmHajGo, sebuah aplikasi mudah alih inovatif yang direka khusus untuk merevolusikan pengalaman umrah dan haji bagi para jemaah beragama Islam masa kini.
Dilancarkan secara digital di Malaysia dan Indonesia, UmHajGo menawarkan cara yang lebih pintar, pantas dan mudah untuk merancang, menavigasi serta mendalami perjalanan ke tanah suci melalui satu platform yang mesra pengguna.
Jurucakap dan penasihat kepada Citadel Group Technologies, Adly Mohamed berkata, UmHajGo direka untuk memenuhi keperluan umat Islam moden yang mencari fleksibiliti, keselamatan dan kemudahan dalam menunaikan ibadah mereka.
“Aplikasi ini menggabungkan teknologi terkini dengan kefahaman budaya yang mendalam bagi memastikan pengalaman Umrah yang lancar.
“Sama ada di Malaysia mahupun Indonesia, UmHajGo adalah teman perjalanan ibadah dengan perancangan tersendiri,” katanya dalam kenyataan.
Lebih daripada sekadar aplikasi, UmHajGo berfungsi sebagai teman peribadi ibadah umrah dan haji, membolehkan pengguna mengurus perjalanan mereka secara bebas tanpa terikat kepada pakej tetap.
Dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), aplikasi ini menyediakan cadangan itinerari yang dipermudahkan dari tempahan hotel dan lawatan ziarah yang disesuaikan mengikut bajet dan keutamaan pengguna, memberikan setiap jemaah pengalaman yang unik dan bermakna.
Menurutnya, antara ciri utama UmHajGo ialah sistem pengesanan kesesakan secara masa nyata yang menggunakan AI untuk memantau tahap kepadatan di tempat yang dikunjungi ramai.
“Ini membantu jemaah mengelakkan waktu puncak, seterusnya menjadikan ibadah lebih tenang dan tertumpu.
“Peta 3D masa nyata dan panduan realiti terimbuh (AR) juga memudahkan pergerakan jemaah di lokasi kompleks dengan lebih yakin.
“Aplikasi ini turut dilengkapi fungsi e-locator, yang membolehkan ahli keluarga menjejaki lokasi ahli keluarga mereka, sekali gus meningkatkan keselamatan sepanjang perjalanan,” ujarnya.
UmHajGo adalah aplikasi holistik, semua dalam satu aplikasi tanpa perlu menggunakan pelbagai platform berasingan.
Selain itu, UmHajGo juga turut menawarkan ciri perancangan wasiat digital dan pilihan takaful perjalanan yang mengikut citarasa pengguna dari sudut kewangan dan spiritual. – UTUSAN










