Tarif AS mengancam sektor strategik negara

Tarif AS mengancam sektor strategik negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarif timbal ba­las dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) menjadi ancaman kepada sektor strategik negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan ekonomi dan sosial.

Ini ekoran desakan negara kuasa besar itu yang meminta Malaysia membuka sektor ter­babit kepada para pelabur AS.

Permintaan itu dikatakan terkandung dalam salah satu syarat dalam rundingan tarif antara ke­dua-dua negara.

Antara sektor strategik negara ini yang menarik perhatian AS adalah perbankan dan utiliti.

Sehubungan itu, Malaysia perlu memastikan sektor terbabit dipertahankan supaya tidak menjejaskan kepentingan nasional.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan akan memperta­hankan kepentingan dalam sek­tor-sektor berkenaan semasa run­dingan semula tarif sebanyak 25 peratus daripada 24 peratus, yang dikenakan AS ke atas negara ini dijangka bermula 1 Ogos ini.

Katanya, sebarang persetujuan akan hanya dimeterai se­kiranya ia tidak menjejaskan kepentingan nasional.

Beliau berkata, rundingan ber­sama AS perlu menjurus ke­pada penyelesaian bersifat me­nang-menang tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara.

“Rundingan setakat ini, kita kena realistik. Ada isu-isu yang tidak boleh kita kompromi seper­ti soal kedaulatan negara dan industri strategik.

“Saya juga berpandangan bahawa apa sahaja yang kita persetujui dengan AS, perlu turut diberikan kepada negara lain termasuk negara ASEAN, Eropah, China dan sebagainya. Jadi, kita perlu melihat perkara ini dari pelbagai aspek,” katanya

selepas merasmikan International Healthcare Week (IHW) 2025 di sini, semalam.

Untuk rekod, antara industri strategik negara adalah sektor perbankan dan tenaga.

Semalam, Indonesia dilapor memuktamadkan rundingan dengan AS dan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus daripada 32 peratus sebelumnya.

Ia hasil persetujuan negara kuasa ekonomi terbesar ASEAN itu untuk menghapuskan cukai ke atas produk AS dan membe­lanjakan AS$15 bilion (RM63.71 bilion) untuk membeli produk AS termasuk 50 pesawat Boeing.

Jurucakap Presiden Indonesia, Hasan Nasbi dilaporkan berkata, rundingan itu dimuktamadnya hasil ‘perjuangan yang luar biasa’.

Bagaimanapun, pakar ekonomi negara itu menyifatkan run­dingan tarif AS-Indonesia tersebut ‘tidak ideal’ kerana ia akan mengurangkan lebihan dagangan Indonesia ke atas AS.

Kelmarin, Tengku Zafrul men­dedahkan, ada permintaan dari pihak AS agar Malaysia meliberalisasikan sekatan pemilikan ekuiti asing dalam beberapa sektor strategi.

Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar berkata, Malaysia perlu mengekalkan dasar pegangan ekuiti asing sedia ada tanpa sebarang bentuk libe­ralisasi seperti yang diminta oleh

Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor strategik yang menjadi tunjang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara.

Beliau berkata, sektor-sektor strategik berisiko tinggi untuk diganggu-gugat oleh pemilikan asing dalam jangka masa panjang jika langkah liberalisasi dilaksanakan secara tergesa-gesa atau tanpa penilaian menyeluruh.

Katanya, jika liberalisasi sekatan dilaksanakan, negara bakal terdedah dengan risiko luaran yang boleh melemahkan sasaran pembangunan ekonomi negara.

“Sektor strategik menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi dan sosial negara berasaskan acuan dasar dan polisi pembangunan yang dirangkai pimpinan tertinggi negara demi mencapai status negara maju dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×