Proton tubuh syarikat eksport pacu pertumbuhan

Proton tubuh syarikat eksport pacu pertumbuhan

KETUA Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong (dua dari kanan) bersama ahli lembaga pengarah PICSB yang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) menubuhkan Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), anak syarikat milik penuh baharu bagi menerajui usaha perluasan pasaran eksportnya, dengan sasaran pertumbuhan jualan eksport 10 kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Proton turut menyasarkan jualan eksport sebanyak 6,000 unit tahun ini menerusi PICSB dengan sasaran menggandakan angka tersebut kepada 12,000 unit pada 2026 dan mencapai lebih 60,000 unit menjelang 2030.

Proton memaklumkan PICSB dipertanggungjawab untuk meneroka peluang baharu di pasaran negara Selatan Global serta terus mengukuhkan kedudukan jenama itu di pasaran antarabangsa sedia ada.

“Setakat ini, Proton telah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 negara sejak 2020, menjadikannya peneraju eksport automotif negara.

“Jadi, antara negara yang menerima eksport Proton termasuk Brunei, Fiji, Mesir, Ghana, Kenya, Afrika Selatan, Trinidad & Tobago, Nepal, Bangladesh dan Mauritius,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PICSB, Edmund Lim Meng Thong berkata, penubuhan PICSB akan meningkatkan fleksibiliti dan ketangkasan syarikat dalam mengurus pasaran antarabangsa.

“Pendaftaran rasmi PICSB menandakan detik penting dalam strategi global Proton. 

“Kami sedang memperkukuh pasukan jualan dan pemasaran serta menantikan peningkatan kapasiti pengeluaran menerusi pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV),” katanya.

Sejak pelancaran eksport pertama ke Bangladesh pada 1986, Proton telah berada di lebih 60 pasaran global dan pernah menjadi jenama kereta baharu paling pesat berkembang di United Kingdom (UK) pada awal 1990-an.

Dalam pada itu, berdasarkan data sejak 2020, Proton Saga kekal sebagai model eksport utama dengan 10,998 unit diikuti X50 (3,986 unit) dan X70 (3,316 unit).

Namun, Proton e.MAS 7 menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila melonjak ke tempat ketiga dalam senarai jualan eksport tahun ini dengan 233 unit dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago.

Setakat Mei 2025, jumlah jualan keseluruhan e.MAS 7 telah mencecah 3,632 unit termasuk pasaran tempatan.

Model itu turut dipamerkan di The Car Expo 2025 di Singapura sebagai sebahagian daripada kempen kemasukan semula Proton ke pasaran negara itu selepas lebih sedekad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN