PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjual bersih ekuiti tempatan selepas membeli dua minggu berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM516.6 juta pada minggu lalu, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar harian antara RM10.1 juta hingga RM272.3 juta.
“Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Isnin, diikuti oleh Jumaat dengan RM103.6 juta, manakala aliran keluar paling kecil direkodkan pada Selasa iaitu RM10.1 juta.
“Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM52.5 juta), hartanah (RM35.4 juta), pengangkutan dan logistik (RM32.1 juta),” katanya dalam nota aliran tunai.
Selain itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi pula ialah perkhidmatan kewangan (RM237.6 juta), telekomunikasi dan media (RM142.7 juta) serta pembinaan (RM89.1 juta)
“Institusi tempatan meneruskan momentum pembelian mereka, mencatat aliran masuk bersih selama lapan minggu berturut-turut dengan jumlah RM463.9 juta, meningkat berbanding aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak RM61.0 juta,” katanya.
Sementara itu, peruncit tempatan kembali kepada pembelian bersih selepas dua minggu menjual, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM52.7 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penurunan secara menyeluruh minggu lepas dengan peruncit tempatan pada 1.6 peratus, institusi tempatan (2.9 peratus) dan pelabur asing (8.3 peratus). – UTUSAN