Pasaran farmaseutikal ASEAN catat pertumbuhan lebih pantas berbanding global

Pasaran farmaseutikal ASEAN catat pertumbuhan lebih pantas berbanding global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran farmaseutikal di Asia Tenggara dijangka berkembang pesat didorong pembangunan sosioekonomi yang semakin rancak serta peningkatan populasi warga emas.

MBSB Research berkata, dengan anggaran saiz pasaran sebanyak AS$27 bilion pada 2024 dan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) lima tahun sebanyak 8.1 peratus, Asia Tenggara dilihat mengatasi pertumbuhan purata global sebanyak 4.3 peratus. 

Menurutnya, saiz pasaran global kini dianggarkan mencecah AS$1.5 trilion.

“Pertumbuhan pesat ini menjadikan ASEAN sebagai enjin utama pertumbuhan sektor farmaseutikal global dan destinasi tumpuan pelaburan serta peluasan pasaran. 

“Bagaimanapun, kejayaan di rantau ini memerlukan strategi seimbang melibatkan inovasi, kemampuan harga, digitalisasi, serta fokus kepada pengeluaran tempatan dan kerjasama strategik.

“Walaupun rantau ini kekal sebagai pengimport bersih farmaseutikal, potensi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan tempatan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Firma itu berkata, tahap urbanisasi negara-negara ASEAN dijangka mencecah sehingga 90 peratus menjelang 2030 (kecuali Singapura yang telah mencapai 100 peratus sejak 1990-an), sekali gus meningkatkan permintaan terhadap kemudahan kesihatan yang lebih moden dan kompleks.

Katanya, dalam masa sama, populasi warga emas yang meningkat susulan jangka hayat lebih panjang dan kadar kelahiran yang menurun turut menyumbang kepada lonjakan keperluan rawatan penyakit kronik, penjagaan jangka panjang dan perubatan geriatrik. 

“Thailand dan Singapura berada di hadapan dari segi kadar penuaan penduduk.

“Keadaan ini membuka ruang kepada pembangunan ubat-ubatan khusus berkaitan usia seperti Alzheimer, selain kemudahan penjagaan kesihatan khusus bagi warga emas,” katanya. 

Dalam pada itu, MBSB Research berkata, Vietnam dan Indonesia muncul sebagai pasaran utama dalam jualan farmaseutikal, dipacu oleh saiz populasi dan peningkatan permintaan terhadap penjagaan kesihatan. 

“Namun, faktor pertumbuhan berbeza antara negara bergantung kepada jenis ubat yang diniagakan dan dihasilkan.

“Pertumbuhan ini turut disokong perubahan gaya hidup, faktor demografi serta inisiatif kerajaan dalam sektor kesihatan, termasuk pengukuhan pelancongan perubatan,” katanya. 

Mengulas mengenai isu tarif, MBSB Research berkata, isu tarif perdagangan dijangka memberi kesan ketara terhadap pasaran farmaseutikal. 

“Namun, kesan ini boleh dikurangkan melalui pelaburan dalam R&D dalaman, pengeluaran tempatan serta kerjasama serantau yang disokong oleh dasar dan pelaburan kerajaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN