KERETA elektrik atau EV memang sudah boleh diterima oleh kebanyakan pengguna Malaysia dan ini terbukti dengan peningkatan penjualan genre tersebut.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan EV dalam 2022 adalah sebanyak 2,631 unit, kemudian jumlah itu meningkat kepada 10,159 unit pada 2023 dan JPJ serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sebanyak 28,048 unit terdaftar pada 2024.
Tahun 2025, beberapa pemerhati industri merasakan jualan EV di Malaysia akan mencecah 35,000 unit iaitu lebih kurang 4.6 peratus dari jumlah pasaran kenderaan negara.
Tidak besar tetapi di dalam dunia EV, ia adalah satu jumlah yang mencukupi untuk peminat kenderaan elektrik itu untuk membuat kenduri kesyukuran.
Namun begitu, apa jadi dengan motosikal elektrik? Ya, ia tergolong dalam kelompok EV juga tetapi kenapa jarang kita melihatnya?
Motosikal elektrik sekarang ini kita lihat hanya popular digunakan oleh Pos Malaysia tetapi sepi dalam kalangan pengguna lain. Ada juga penggemar motosikal elektrik yang membelinya khusus untuk modifikasi bagi tujuan perlumbaan ‘drag’ – ada tetapi tidak ramai.
Apa masalahnya motosikal elektrik?
Sebenarnya, tidak ada masalah cuma seperti kenderaan-kenderaan lain, ia mempunyai batasan kepenggunaan dan kerajaan Malaysia mempunyai program subsidi harga untuk meningkatkan minat terhadap genre tersebut.
MARiiCAS atau Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik di bawah MARii (Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia) memberikan rebat sebanyak RM2,400 kepada setiap pembelian motosikal elektrik yang tersenarai di dalam sistem tersebut.
Sebanyak sembilan model yang ditawarkan (semuanya mesti dipasang secara tempatan atau CKD) dan harganya bermula dari bawah RM3,000 untuk Superlux eB1 hingga ke RM23,500 untuk Vmoto CPX Pro (harga selepas rebat MARiiCAS).
Jarak gerak pula adalah dari serendah 100 kilometer (km) hingga ke 200 km, sesuatu yang sebenarnya penting dalam memahami sifat motosikal elektrik ini.
Bateri – cabaran terbesar
Cabaran terbesar motosikal elektrik adalah bateri, di mana ia tidak mampu menggunakan bateri sebesar kereta.
Teknologi bateri kekal sama iaitu kebanyakannya akan menggunakan bateri lithium ion. Untuk kereta di mana kerangkanya jauh lebih besar, ia mampu memuatkan saiz bateri yang cukup besar untuk menawarkan jarak gerak melebihi 500 km.
Ada motosikal elektrik yang mampu memuatkan dua unit bateri sebesar 50 aH dan itu memberikan jarak gerak yang jauh, mencecah hampir 200 km tetapi jarak gerak motosikal elektrik pula sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor selain dari saiz bateri sahaja.
Rintangan Udara
Ini adalah satu faktor yang jarang diketahui oleh pengguna motosikal tetapi dalam dunia kejuruteraan automotif, rintangan udara atau aerodinamik memainkan peranan yang besar dalam mengekang prestasi sebenar sebuah motosikal.
Motosikal jauh lebih ringan dari kereta dan dalam dunia EV, ini kekal sama. Berat motosikal selalunya kurang 20 peratus dari berat sebuah kereta penumpang biasa. Namun begitu, kenapa kereta boleh mencapai kelajuan yang lebih tinggi walaupun membawa lebih banyak beban?
Motosikal ialah sebuah jentera dengan bentuk badan yang mempunyai kadar aerodinamik yang ‘kotor’ – bermakna itu tidak ‘selicin’ kereta dalam usaha untuk membelah udara ketika bergerak.
Keadaan penunggang yang tidak dilindungi oleh sebarang panel menjadikan nilai cD (coefficient of drag atau pekali seretan) lebih tinggi. Dengan nisbah kuasa yang dijana oleh enjin motosikal berbanding dengan beratnya, motosikal sepatutnya mampu mencapai kelajuan maksimum yang sama atau lebih tinggi dari kereta tetapi kerana rekabentuk yang tidak efisien menidakkan kebolehan tersebut.
Semakin laju motosikal itu bergerak, semakin banyak tenaga yang digunakan untuk melawan rintangan angin dan ini terpakai di dalam motosikal elektrik juga.
Tenaga elektrik tidak efisien?
Tenaga elektrik sebenarnya sangat efisien dan kerana itu ia mampu disukat dan dihitung dengan lebih tepat.
Contohnya, pengiraan jarak gerak EV jauh lebih tepat dari kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE), baik petrol mahupun diesel.
Motor elektrik juga jauh lebih efisien dalam penggunaan tenaga – kadar efisiensi sebuah EV ialah antara 85 ke 95 peratus berbanding dengan 20 ke 25 peratus untuk kenderaan petrol dan 30 ke 40 peratus untuk diesel.
Sayangnya, kepadatan tenaga dalam elektrik adalah lebih rendah dari petrol ataupun diesel.
Contohnya, secara konsep, satu liter petrol menghasilkan sebanyak 34 MJ dan 1 kWh elektrik pula menghasilkan 3.6 MJ. Anda sebenarnya memerlukan 9.6 kWh untuk menyamai sejumlah tenaga yang dihasilkan dari 1 liter petrol.
Ini menyebabkan banyak tenaga elektrik ‘hilang’ semasa operasi dan jika dikira dari nisbah masa yang digunakan untuk mengecas berbanding dengan jarak penggunaan, EV semakin tidak praktikal.
Praktikaliti ialah apa yang menjadikan motosikal ini menarik dan jika ia tidak begitu praktikal, daya tarikannya akan menurun.
Jadi adakah kita masih boleh menggunakan motosikal elektrik?
Motosikal elektrik – masih menarik untuk sesetengah pembeli
Bagi pengguna yang hanya menunggang bagi jarak yang dekat, motosikal elektrik adalah pilihan paling optimal.
Anda tidak perlu lagi ke stesen minyak – cukup dengan dicas di rumah sahaja pada sebelah malam. Ini cukup menarik kerana anda tidak perlu mengambil risiko untuk keluar ke laluan utama yang penuh dengan kenderaan yang lebih besar dan lebih laju.
Motosikal elektrik tidak memerlukan servis berkala sekerap motosikal berenjin. Tidak ada minyak pelincir atau palam pencucuh yang perlu diganti dan kebanyakannya menggunakan tali sawat yang tahan lama. Brek juga lebih menggunakan sistem ‘regen’, bermakna pelapik brek anda tahan jauh lebih lama.
Motosikal elektrik juga senyap kerana tidak ada enjin. Tidak ada sesiapa yang akan menjeling anda di surau sekiranya anda balik lebih awal dan tidak ada anak-anak muda yang menukar ekzos bising.
Ia juga tidak menghasilkan sebarang asap dan ini ialah kebaikan utama semua EV. Asap adalah pembunuh utama alam sekitar dan punca kenapa iklim sekarang menjadi lebih panas. Sekiranya lebih ramai bertukar kepada EV, dunia akan menjadi lebih sejuk!
Motosikal elektrik juga memberikan pecutan yang jauh lebih pantas kerana ia menghasilkan kadar daya kilas maksimum dari pusingan pendikit terawal. Ia mampu membuatkan penunggang ketagih dengan kadar pecutan menarik itu tetapi ia bergantung kepada jumlah tenaga yang dihasilkan oleh bateri tersebut.
Motosikal elektrik juga bebas sebarang gegaran kerana tidak ada enjin yang digunakan. Ini membuatkan tunggangan rasa lebih selesa dan bebas kebas!
Siapa yang tak sesuai menggunakan motosikal elektrik?
Pengguna yang sentiasa berjalan jauh akan mendapati motosikal elektrik tidak begitu praktikal.
Ini kerana pengecas terbina di dalam motosikal elektrik selalunya ialah dari jenis AC dan ia memerlukan jangka masa yang lama untuk mengecas (lebih dari dua jam untuk penuh).
Selain dari itu, motosikal elektrik juga tidak mempunyai kelajuan yang tinggi. Jika anda sentiasa perlu menggunakan lebuh raya, anda akan melihat penggunaan elektrik yang lebih tinggi dan meningkatkan kekerapan untuk mengecas.
Kadar tenaga yang dihasilkan juga menentukan kekuatan motosikal elektrik ini untuk mendaki bukit. Bukit yang curam akan memberikan efek kepada halaju dan jika ditunggang bersama pembonceng, halaju juga akan terkesan.
Motosikal elektrik yang berkuasa dan mempunyai prestasi yang menarik pula selalunya akan mempunyai harga yang tinggi, dan jarak gerak serta prestasi halaju maksimumnya juga tidak mencukupi untuk peminat tegar motosikal.
Kesimpulannya?
Memang motosikal elektrik menawarkan praktikaliti yang berlainan berbanding dengan motosikal biasa, cuma cara penggunaannya perlu sesuai dengan keperluan anda.
Rebat yang diberikan oleh MARii juga membantu untuk mengurangkan harga belian, cuma anda perlu membuat permohonan tetapi ini selalunya akan dibantu oleh penjual motosikal itu sendiri.
Jika anda tidak pasti, yang terbaik ialah anda cuba menunggang uji motosikal elektrik ini dahulu dan kirakan jarak perjalanan yang anda gunakan secara harian.
Mana tahu jika ia sesuai dan jika ia, kemungkinan besar anda akan menyukainya! – UTUSAN










