PETALING JAYA: Malaysia disaran menilai semula pendekatan dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan tekanan untuk meliberalisasikan sektor strategik negara, termasuk perkhidmatan kewangan dan insurans, sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif eksport.
Pakar ekonomi dari Sunway University, Prof. Dr. Yeah Kim Leng menegaskan bahawa pemilikan asing dalam sektor tertentu boleh dipertimbangkan secara selektif, namun Malaysia perlu mengimbangi antara keperluan pelaburan luar dan perlindungan terhadap kepentingan nasional.
Katanya, dalam sektor perkhidmatan kewangan dan insurans, isu utama yang dibangkitkan adalah tekanan dari pihak AS untuk Malaysia meliberalisasikan sektor ini dengan menghapuskan had pemilikan asing, namun terdapat kebimbangan berhubung impaknya terhadap kawalan domestik.
“Isunya bukan soal kedaulatan secara langsung, kerana dasar negara masih ditentukan oleh kerajaan Malaysia. Tetapi dalam sektor tertentu seperti insurans, kita perlu fikir secara mendalam sama ada membuka ruang pemilikan asing sepenuhnya itu menguntungkan atau sebaliknya.
“Dalam beberapa kes, syarikat asing gagal mencari pembeli tempatan untuk menjual pegangan, menyebabkan dasar sedia ada terpaksa dilonggarkan demi kelangsungan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, meskipun syarikat-syarikat ini dibuka kepada pegangan asing, mereka masih lagi tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh Kerajaan Malaysia dan kerajaan juga boleh membuat dasar baharu pada masa depan.
Kim Leng berkata, Malaysia perlu lebih tegas dalam rundingan tarif untuk menyokong sektor eksport utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) yang mungkin terkesan dengan tarif import ke AS sebanyak 25 peratus.
“Ketika kadar tarif ke atas Malaysia meningkat sehingga 25 peratus, negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam menikmati kadar yang jauh lebih rendah, mewujudkan jurang persaingan yang membimbangkan.
“Perbezaan 10 peratus ini akan memberi kesan besar ke atas daya saing kita. Jika rundingan gagal menurunkan kadar tarif ini, pelaburan berkemungkinan besar akan beralih ke negara lain,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia ketika ini banyak bergantung kepada sektor E&E sebagai komponen eksport utama dan peningkatan tarif boleh menyebabkan risiko kehilangan pelabur asing, sekali gus menjejaskan pertumbuhan jangka panjang dan daya saing pasaran negara.
Mengulas mengenai tarif di negara jiran, beliau berkata, Indonesia dilaporkan menawarkan tarif sifar kepada pelabur luar dalam beberapa sektor, menjadikan persaingan semakin sengit. “Rundingan AS dengan Malaysia pula adalah sedikit berbeza iaitu memberi fokus kepada isu bukan perdagangan seperti pensijilan halal dan pemilikan asing.
“Malaysia tidak seharusnya dilayan secara berbeza dalam rundingan perdagangan, memandangkan banyak syarikat AS telah lama bertapak dan menyumbang kepada ekosistem ekonomi negara.
“Negara ini perlu dilihat sebagai rakan perdagangan yang strategik kepada AS,” ujarnya.
Tambahnya, sebarang langkah liberalisasi sektor strategik, khususnya dalam perkhidmatan kewangan, insurans dan digital, perlu dilakukan dengan berhati-hati dengan mengambil kira keseimbangan antara membuka pasaran dan melindungi kepentingan nasional. – UTUSAN









