PETALING JAYA: Jualan kumpulan Proton pada bulan Jun berjumlah 11,069 unit menunjukkan peningkatan kecil berbanding bulan yang sama pada 2024.
Jumlah jualan dari awal tahun sehingga kini dicatatkan sebanyak 72,156 unit, menjadikannya yang kedua tertinggi dalam industri.
Proton berkata, pegangan pasaran Proton bagi Jun dianggarkan berada pada 20.7 peratus, peningkatan 1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Sebaliknya, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan pada 53,500 unit pada bulan Jun, penurunan sebanyak 21 peratus berbanding angka TIV 68,007 unit pada bulan Mei,” katanya dalam kenyataan.
Menurut pengeluar kereta nasional itu, Proton X50 terus mendahului segmen seiring pembukaan tempahan model serba baharu.
“Salah satu faktor utama pencapaian jualan Proton adalah prestasi kukuh model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B, Proton X50,” katanya.
Proton X50 dilancarkan pada Oktober 2020 dan lebih 140,000 unit terjual di Malaysia dan pasaran luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai model terlaris dalam kelasnya selama lima tahun berturut-turut.
Pada Jun 2025, sebanyak 1,657 unit Proton X50 telah berjaya dijual, mengekalkannya posisinya dalam kalangan semua pesaing dalam kelas tersebut.
Jumlah ini merangkumi 353 unit untuk pasaran eksport, di mana model ini menyumbang 47 peratus daripada jumlah volum eksport.
Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 11,361 unit Proton X50 telah terjual, menandakan peningkatan sebanyak 11.3 peratus berbanding enam bulan pertama tahun 2024.
Model dengan angka peningkatan jualan tertinggi bagi separuh pertama 2025 ialah Proton X70.
Sebanyak 533 unit telah terjual pada Jun menjadikan jumlah enam bulannya kepada 4,354 unit, peningkatan sebanyak 46.3 peratus berbanding angka 2024 dan bukti penambahbaikan yang diperkenalkan dalam model 2025 telah diterima baik oleh pembeli SUV segmen-C.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, selepas prestasi kukuh pada Mei, jualan automotif menurun sebanyak 15,000 unit pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Asia Barat dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menjejaskan sentimen pembeli.
“Walau bagaimanapun, Proton berjaya mengatasi prestasi pasaran untuk meningkatkan peratusan pegangan pasaran kami menjelang separuh kedua tahun yang sibuk, di mana kami mempunyai jadual penuh dengan acara dan pengenalan model baharu.
“Dengan model baharu di bilik pameran kami, prospek syarikat adalah untuk mencapai separuh kedua 2025 yang lebih kukuh sambil kami berusaha meningkatkan jualan bagi tawaran kederaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan model kenderaan elektrik (EV),” katanya. – u