PENGUMUMAN kadar gaji sara hidup RM3,100 oleh kerajaan baru-baru ini wajar dilihat sebagai satu panduan, bukan paksaan terhadap syarikat swasta untuk menstrukturkan semula gaji pekerja.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif itu bersifat rujukan khusus kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), tanpa mewajibkan pelaksanaannya dalam sektor swasta.
“Penentuan gaji masih tertakluk kepada majikan masing-masing. Apa yang diumumkan kerajaan ini lebih kepada satu panduan, bukan satu kewajipan yang mengikat majikan swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengenai pelaksanaan kadar gaji sara hidup minimum RM3,100 bagi pekerja GLC dan GLIC, yang dikatakan lebih sesuai dengan kos sara hidup semasa.
Menurut Dr. Afzanizam, pelaksanaan kadar gaji lebih tinggi dalam GLC boleh memberi kesan rantaian kepada struktur pasaran kerja, termasuk mencetuskan persaingan sihat antara GLC dan syarikat swasta dalam mendapatkan tenaga kerja terbaik.
“Kita boleh jangka lebih ramai graduan berminat menyertai GLC kerana gaji lebih menarik. Jadi akan wujud satu persaingan di mana syarikat swasta juga terpaksa menilai semula penawaran gaji mereka bagi menarik bakat-bakat baharu,” jelasnya.
Tambah beliau, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah keperluan mewujudkan keseimbangan antara kuasa beli pekerja dengan kemampuan majikan.
“Pekerja berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, tapi dalam masa sama majikan terutama di sektor swasta turut berhadapan dengan kos operasi yang meningkat.
“Jadi pendekatan yang diambil perlu seimbang dan realistik, supaya tidak membebankan mana-mana pihak.
“Perubahan kepada struktur gaji dalam pasaran kerja seharusnya berlaku secara berperingkat, mengambil kira kemampuan majikan, produktiviti pekerja dan keadaan ekonomi semasa,” tambahnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pengumuman kerajaan mengenai gaji sara hidup itu merupakan langkah penting ke arah memperbaiki taraf kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sejahtera.
Menurutnya, penetapan RM3,100 sebagai kadar gaji kehidupan wajar adalah selaras dengan matlamat Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, dan mampu membantu pekerja terutama di kawasan bandar menampung kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Ini satu inisiatif yang baik kerana gaji minimum sedia ada masih belum mencerminkan keperluan sebenar rakyat untuk hidup dengan selesa dan bermaruah, terutamanya di bandar besar seperti Lembah Klang.
“Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini secara lebih meluas, khususnya dalam sektor swasta, memerlukan kajian impak mendalam terhadap struktur kos syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sekiranya gaji RM3,100 dijadikan panduan secara menyeluruh, ia boleh memberi tekanan kepada syarikat-syarikat yang tidak mempunyai keupayaan kewangan, lalu menjejaskan peluang pekerjaan, terutamanya dalam kalangan graduan atau pekerja kurang berpengalaman,” jelasnya
Tambah Dr. Bashir, lonjakan mendadak dalam kos buruh juga boleh menggalakkan automasi dan pengurangan tenaga kerja, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran jika tidak ditangani dengan berhati-hati.
“Untuk melaksanakan gaji wajar ini secara menyeluruh, kerajaan juga perlu memperkukuh strategi peningkatan produktiviti pekerja serta membantu syarikat melalui insentif atau sokongan fiskal, supaya ia dapat dilakukan secara berperingkat dan mampan.
“Usaha menstrukturkan semula gaji bukan sahaja soal angka, tetapi perlu disertai dengan pembaharuan menyeluruh terhadap model ekonomi, pelaburan dalam modal insan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja,” tambahnya.-UTUSAN