PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memaklumkan telah berjaya mencapai pemilikan melebihi 90 peratus saham dalam FGV Holdings Berhad (FGV) melalui Tawaran Pengambilalihan Sukarela (Voluntary Take-Over – VTO) yang sedang berlangsung.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, Felda memberitahu, tawaran ini masih dibuka untuk penerimaan sehingga pukul 5 petang,15 Ogos 2025 dan Felda menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat.
Pengambilalihan saham FGV ini bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan Kumpulan Felda yang lebih mampan dan berfokus, tetapi juga selari dengan aspirasi Felda dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan Felda 2025–2030.
Usaha ini diyakini akan mempertingkatkan daya saing serta menjamin pulangan jangka panjang kepada warga peneroka dan semua pemegang taruh. – UTUSAN