Eksport semikonduktor tumbuh 15.7% pada separuh pertama 2025

Eksport semikonduktor tumbuh 15.7% pada separuh pertama 2025

TENGKU Zafrul Abdul Aziz pada Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eksport semikonduktor Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan 15.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.8 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian itu jelas menunjukkan kepentingan dan daya saing Malaysia dalam sektor semikonduktor global.

“Industri elektrik dan elektronik (E&E) turut menjadi pemangkin pelaburan, menarik RM561 bilion sejak 1980 dengan pelabur asing menyumbang sebahagian besar daripada jumlah tersebut.

“Industri ini telah mewujudkan lebih satu juta pekerjaan langsung dan setengah juta lagi dalam industri sokongan,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di sini, semalam. 

Zafrul berkata, pertumbuhan industri itu kini turut berkembang dari Pulau Pinang dan Selangor ke negeri-negeri lain termasuk Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

“Perkembangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat besar, tetapi juga hampir 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tunjang kepada ekosistem semikonduktor negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri berkenaan turut memberikan impak besar kepada ekonomi negara melalui kesan gandaan.

“Setiap RM1 yang dibelanjakan dalam industri ini mampu menjana lebih RM2 dalam output langsung merentas rantaian bekalan, sektor sokongan dan pendapatan isi rumah.

“Secara keseluruhan, industri ini menjana output ekonomi berjumlah RM4.9 trilion pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan pesat industri semikonduktor bukan sekadar memacu angka pertumbuhan ekonomi, malah menjadi pemangkin kepada masa depan Malaysia.

“Industri ini merupakan aset strategik negara dan menjadi tunggak kepada cita-cita Malaysia untuk menerajui bidang inovasi, perdagangan dan kemakmuran bersama. Oleh itu, amat penting untuk kita terus menyokong pertumbuhan sektor ini,” katanya.

Mengulas soal pembangunan bakat, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyedari peningkatan permintaan terhadap jurutera dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi, termasuk semikonduktor.

Katanya, lebih 13,000 pekerja tempatan berkemahiran tinggi telah dilatih menerusi pelbagai program utama yang dikendalikan oleh CREST dan Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp.

“Inisiatif E&E Pillar di bawah Kementerian Sumber Manusia-TalentCorp telah memberi manfaat kepada lebih 1,180 peserta di seluruh negara.

“Apa yang penting, peserta melaporkan peningkatan gaji sehingga 20 peratus, dengan lebih separuh kini memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN