BNM semak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2025

BNM semak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4%-4.8%

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada empat peratus hingga 4.8 peratus pada 2025, berbanding unjuran sebelumnya antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Bank pusat berkata, unjuran pertumbuhan terkini mengambil kira senario tarif yang pelbagai, merangkumi senario kemungkinan kenaikan tarif yang berterusan serta hasil rundingan perdagangan yang lebih menggalakkan. 

“Unjuran ini terus bergantung pada ketidakpastian dalam ekonomi global iaitu sama ada pertumbuhan menjadi perlahan atau menjadi pesat. 

“Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta aktiviti pelancongan yang giat boleh meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun menghadapi ketidakpastian global. 

Katanya, sebahagiannya adalah disebabkan oleh pembaharuan struktur yang telah dilaksanakan sejak sekian lama. 

“Kegiatan ekonomi yang terus kukuh serta inflasi yang sederhana menyediakan persekitaran yang menyokong bagi meneruskan pembaharuan struktur untuk membentuk Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan,” ujarnya.

BNM berkata, ekonomi global telah berubah dengan ketara sejak pengumuman unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari BNM pada Mac 2025.

Tambahnya, prospek pertumbuhan global terkesan oleh perubahan dasar perdagangan dan ketidakpastian berkaitan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik. 

“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia akan dipengaruhi oleh perkembangan ini. Malaysia mempunyai kelebihan kerana ekonomi negara menghadapi rintangan luaran ini dari kedudukan yang kukuh. 

“Penunjuk terkini, termasuk anggaran awal bagi pertumbuhan suku kedua, terus menunjukkan kegiatan ekonomi yang masih kukuh. Permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan akan terus menyokong pertumbuhan pada masa hadapan. 

“Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar akan terus menyokong penggunaan swasta,” ujarnya.

Mengulas mengenai inflasi, bank pusat berkata, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 peratus hingga 2.3% pada 2025 berikutan keadaan permintaan dan kos yang sederhana.

“Unjuran terkini mencerminkan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana sejak bulan Mac 2025. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana. 

“Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri dijangka kekal terkawal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN