AS dijangka kenakan syarat ketat tarif

AS dijangka kenakan syarat ketat tarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan pengecualian tarif daripada Amerika Syarikat (AS) dijangka disertakan syarat ketat, termasuk pematuhan terhadap piawaian buruh, alam sekitar dan tadbir urus (ESG), menurut penganalisis. 

Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ini sejajar dengan dasar perdagangan mesra ESG yang semakin diberi penekanan oleh Washington.

Katanya, peluang negara mendapat pengurangan tarif dilihat cerah, namun memerlukan pendekatan diplomasi ekonomi yang bijak serta iltizam dalam memenuhi piawaian antarabangsa.

“Malaysia perlu bersedia menyesuaikan dasar tempatan dengan kehendak pasaran global. 

“Jika dilaksanakan secara teliti, langkah ini bukan sahaja mampu meningkatkan eksport negara, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama ekonomi serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, Malaysia merupakan pengeluar utama produk elektrik dan elektronik (E&E), sarung tangan perubatan serta barangan pembuatan berteknologi tinggi.

“Ini menjadikan negara ini antara komponen penting dalam strategi ‘China+1’ yang kini diterapkan Washington,” katanya. 

Abu Sofian berkata, prestasi ekonomi negara yang stabil serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) turut mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia dalam rundingan perdagangan.

“Dasar fiskal yang pro-perniagaan dan penglibatan aktif dalam perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjadikan Malaysia lebih berdaya saing berbanding negara serantau lain. 

“Sekiranya pengurangan tarif dapat direalisasikan, beberapa sektor utama dijangka meraih manfaat secara langsung, antaranya E&E, sarung tangan dan peranti perubatan, produk pertanian dan makanan, tekstil serta produk halal dan kosmetik Islamik,” ujarnya

Sementara itu, Ketua Bahagian Urus Niaga, Moomoo Malaysia, Ken Low berkata, langkah itu digambarkan oleh pentadbiran AS sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan dagangan dan akses pasaran yang tidak timbal balik.

“Pihak berkuasa Malaysia telah menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan berkenaan dan memaklumkan bahawa rundingan diplomatik sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian. 

“Sementara itu, pemain industri kini sedang membuat persiapan menghadapi kesan yang bakal timbul, khususnya dalam sektor berorientasikan eksport,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, perkembangan tersebut menambah ketidaktentuan baharu dalam pasaran, susulan perubahan dasar fiskal terdahulu di AS.

“Pelaksanaan tarif menyeluruh ini memperkenalkan risiko baharu terhadap kelangsungan aliran perdagangan dan jangkaan keuntungan korporat serta dua pemacu utama sentimen pelabur dalam ekonomi terbuka yang bergantung kepada eksport seperti Malaysia,” katanya.

Menyentuh sudut makroekonomi, beliau berkata, ringgit telah mula menunjukkan penyusutan apabila pelabur menilai semula prospek imbangan luaran Malaysia, disebabkan jangkaan penurunan hasil eksport. 

“Pasaran ekuiti dan bon turut dijangka mengalami turun naik yang lebih ketara susulan aliran dana asing yang lebih tidak menentu, selari dengan perubahan premium risiko dan perkembangan geopolitik.

“Namun, cabaran ini juga membuka ruang, malah mungkin menjadi keperluan  untuk syarikat menilai semula strategi pasaran mereka. 

“Ia boleh mempercepatkan usaha mempelbagaikan destinasi eksport, penyertaan lebih aktif dalam rantaian bekalan serantau serta pelaburan dalam inovasi dan kecekapan kos bagi mengekalkan daya saing di bawah terma perdagangan yang kurang menggalakkan,” katanya. 

Baru-baru ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, pihaknya akan meneruskan rundingan bersama AS dengan hasrat yang baik untuk menangani isu-isu yang belum selesai, menjelaskan skop dan kesan yang diumumkan, serta meneroka jalan bagi mencapai penyelesaian dalam masa yang sewajarnya.

Ini selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

MITI berkata, usaha-usaha ini masih berjalan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.

Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain antaranya Afrika Selatan dan Bosnia dan Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN