KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 unit model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu keluaran Chery, Tiggo Cross sudah ditempah pelanggan sejak dipertontonkan kepada umum di negara ini, Mei lalu.
Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata, pihaknya teruja dengan sambutan hangat itu memandangkan ini merupakan produk pertama jenama itu di bawah segmen harga RM100,000.
Katanya, varian super hibrid juga adalah pertama kali dibawa masuk ke negara ini.
“Jumlah tempahan setakat ini sudah menghampiri 1,000 unit. Kami sangat teruja dengan produk ini.
“Berapa jumlah yang kita jangka jual pada tahun ini, itu adalah rahsia. Namun, saya pasti teruja apabila statistik jualan keluar nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran Tiggo Cross di sini, kelmarin.
Dua varian Tiggo Cross dilancarkan dalam majlis itu, iaitu petrol turbo 1.5 liter dan super hibrid.
Varian petrol ditawarkan pada harga RM88,800, manakala hibrid RM99,800 dengan jaminan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer termasuk khidmat tunda 24 jam tanpa had dengan syarat-syarat tertentu.
Selain itu, 2,000 pembeli pertama akan menerima servis percuma selama dua tahun.
Bagi model hibrid, ada jaminan tambahan untuk bateri, kuasa motor dan unit kawalan hibrid selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.
Sementara itu, dalam majlis sama, Chery Malaysia menyumbang sebanyak RM50,000 untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) yang disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – UTUSAN










