SUBANG JAYA: Tekanan ekonomi, kelemahan institusi keluarga, campur tangan pihak ketiga dan peningkatan nilai hartanah antara faktor yang menjejaskan pelaksanaan hibah di negara ini.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wassiyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin berkata, berdasarkan pengalaman 21 tahun mereka dalam industri perancangan harta mendapati keadaan ekonomi semasa menjadi punca utama peningkatan cabaran terhadap konsep hibah.
Disebabkan faktor itu, waris tetap menuntut supaya harta difaraidkan walaupun ia sudah dihibahkan oleh si mati kepada waris tertentu.
“Jika dahulu, waris yang tidak mendapat bahagian mungkin dalam keadaan ekonomi yang baik, jadi mereka tidak rasa perlu menuntut harta tersebut.
“Tetapi dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini, apa sahaja peluang untuk mendapat manfaat kewangan akan direbut, tidak kira oleh waris atau bukan waris,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Menurut Ariffin, faktor kedua yang menyumbang kepada cabaran hibah adalah kelemahan institusi kekeluargaan yang semakin ketara dalam dekad kebelakangan ini.
“Dahulu, hubungan antara adik-beradik sangat rapat, saling hormat menghormati dan tolong-menolong. Tapi sejak 10 tahun kebelakangan ini, dengan pengaruh media sosial dan gaya hidup moden, hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang,” ujarnya.
Tambah beliau, campur tangan pihak ketiga seperti pasangan kepada waris atau penasihat luar turut menjadi penyumbang kepada pertikaian berkaitan hibah.
Selain itu, peningkatan nilai hartanah yang ketara sejak beberapa tahun turut menyebabkan waris lebih cenderung mencabar hibah yang telah dibuat sebelum ini, terutamanya jika merasakan bahagian mereka tidak setimpal.
Jelas Ariffin, trend ini membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan niat sebenar pewaris yang mahu menyusun harta secara aman melalui hibah.
Mengulas mengenai isu tular hibah takaful yang terbatal baru-baru ini, Ariffin berkata, ia merupakan isu proses teknikal perundangan dan secara spesifik melibatkan hibah bagi manfaat takaful sahaja.
“Isu baru-baru ini terkait dengan keabsahan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
“Saya percaya akan ada proses perundangan lanjutan daripada kes ini dan masyarakat perlu memberi ruang proses itu berjalan sebelum membuat sebarang kesimpulan akhir.
“Kes ini tidak melibatkan Wasiyyah. Bagi urusan hibah harta-harta yang dibuat oleh Wasiyyah, kami masih mengekalkan operasi yang sedia ada namun inisiatif penambahbaikan sentiasa dibuat,” jelasnya.-UTUSAN