PETALING JAYA: Sektor pembuatan Malaysia terus berdepan keadaan mencabar pada Mei lalu, menandakan tempoh aktiviti lemah yang berterusan di pertengahan suku kedua, menurut S&P Global.
Firma penyelidikan itu berkata, tahap pengeluaran dan pesanan baru terus menunjukkan penurunan, mencerminkan kelembapan berterusan dalam keadaan operasi.
“Walaupun kadar pengurangan dalam output dan perniagaan baru berkurangan sedikit, menunjukkan sedikit penambahbaikan, kelemahan asas masih menjadi kebimbangan.
“Penguatkuasaan tarif Amerika Syarikat (AS) menambah beban kos kepada pengilang, apabila inflasi harga input mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.
“Melihat ke hadapan, keyakinan perniagaan berkurangan pada bulan Mei, dengan tahap sentimen keseluruhan berada pada paras terendah sejak Jun 2021,” katanya dalam nota penyelidikan.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh S&P Global mencatat peningkatan sedikit daripada 48.6 pada April kepada 48.8 pada Mei.
Katanya, walaupun ini menunjukkan sedikit pelembutan dalam penurunan, ia masih menandakan penyusutan berterusan dalam sektor pembuatan untuk bulan kedua belas berturut-turut.
“Tahap pengeluaran telah dikurangkan secara konsisten selama setahun penuh, dengan kemasukan pesanan baru yang lemah menjadi punca utama pengurangan output.
“Cabaran utama bagi pengilang adalah kesan tarif AS, yang menyumbang kepada peningkatan beban kos. Oleh itu, inflasi harga input dipercepatkan, mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.
“Kenaikan sederhana dalam perbelanjaan ini merupakan yang tertinggi sejak November tahun lalu, menunjukkan peningkatan ketara dalam kos operasi perniagaan,” katanya.
Walaupun kos input meningkat, firma penyelidikan itu mengekalkan harga produk mereka pada tahap stabil pada Mei, menamatkan tempoh empat bulan penurunan harga.
Jumlah pesanan baharu menyusut untuk bulan ketiga berturut-turut pada Mei.
Pengilang melaporkan keyakinan pelanggan yang lemah di pasaran domestik dan antarabangsa, menyebabkan penurunan pesanan eksport baru untuk bulan keenam berturut-turut, walaupun pada kadar paling perlahan sejak Februari.
Tahap pekerjaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal tidak berubah pada Mei, menghentikan tempoh tujuh bulan pengurangan pekerjaan.
Namun, kemasukan pesanan baru yang lemah membolehkan firma terus memproses perniagaan tertunggak, mengakibatkan penurunan kecil dalam baki pesanan.
Tahap pembelian juga menunjukkan pengurangan, walaupun pada kadar paling perlahan sejak Februari, kerana firma mengekalkan inventori dengan berhati-hati untuk kedua-dua input dan barang siap.
Sentimen perniagaan, walaupun masih positif untuk tahun akan datang berikutan harapan permintaan yang bertambah baik, berkurangan dengan ketara pada Mei, mencapai paras terendah sejak Jun 2021.
Penurunan keyakinan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan yang berterusan mengenai hala tuju dasar perdagangan AS dan kekurangan pekerja mahir yang sesuai.
Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat sedikit penambahbaikan dalam kadar penyusutan, sentimen perniagaan berada pada paras terendah sejak Jun 2021, menonjolkan rasa ketidakpastian yang meluas dalam kalangan pengilang.-UTUSAN










