Sektor pembinaan terus rancak dipacu projek infrastruktur awam

Sektor pembinaan terus rancak dipacu projek infrastruktur awam

PROJEK LRT Pulau Pinang adalah projek infrastruktur terbesar yang dilaksanakan pentadbiran Kerajaan Madani sehingga kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan dijangka mengekalkan pertumbuhan pendapatan pada separuh kedua tahun ini, dipacu oleh aktiviti tapak pembinaan yang lebih tinggi termasuk projek infrastruktur awam utama, kata CIMB Securities Sdn. Bhd.

Penganalisisnya, Mak Hoy Ken berkata, buku pesanan dilihat bertambah baik, di samping pelancaran beransur-ansur projek awam besar dan potensi sehingga enam kemudahan pusat data berskala besar bernilai kira-kira RM2 bilion setiap satu dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang.

“Kami mengekalkan panggilan ‘overweight’ pada sektor pembinaan dan mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan 2025.

“Kami mengulangi semula IJM Corporation Berhad sebagai satu daripada pilihan sektor pembinaan bermodal besar teratas kami bersama Gamuda Berhad. 

“IJM berada di peringkat akhir untuk menukar nilai bidaan berterusan bernilai RM6 bilion hingga RM8 bilion, dan baru-baru ini menerima lampu hijau untuk meneruskan pelanjutan RM1.4 bilion Lebuh Raya Baru Pantai (NPE),” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, Gamuda kekal di landasan yang betul untuk mencapai sasaran buku pesanan akhir 2025  sebanyak RM40 bilion hingga RM45 bilion, disokong oleh kira-kira RM24 bilion tender tinggi yang merangkumi sehingga enam bidaan berkaitan pusat data bernilai kira-kira RM2 bilion setiap satu.

Hoy Ken berkata, tumpuan utama ketika ini adalah kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM17 bilion, yang merupakan yang terbesar projek infrastruktur yang akan dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani sehingga kini.

Beliau berkata, skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan boleh mencetuskan semula ketidakpastian jangka pendek berkaitan margin pekerjaan pembinaan bukan kediaman yang berterusan dengan nilai lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan impak perluasan SST dengan kadar enam yang dikenakan ke atas perkhidmatan pembinaan bermula 1 Julai ke atas kontrak bernilai melebihi RM1.5 juta adalah minimum secara keseluruhan kerana kontraktor berkemungkinan akan menyerahkan caj cukai baharu kepada pelanggan.

Tambahnya, kontrak yang melibatkan projek perumahan dan kemudahan awam dikecualikan, termasuk transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Untuk mengurangkan isu cukai dua kali bagi kontrak pembinaan sedia ada, kami berpendapat bahawa pengecualian B2B akan disediakan untuk memastikan levi SST ke atas sektor pembinaan hanya digunakan pada satu peringkat, walaupun mekanisme sebenar masih belum didedahkan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN