Saham Paradigm REIT dibuka mendatar di Pasaran Utama

Saham Paradigm REIT dibuka mendatar di Pasaran Utama

PENYENARAIAN itu sekali gus mencatatkan sejarah sebagai penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) terbesar dalam tempoh 13 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT), syarikat amanah pelaburan hartanah tempatan, memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia tidak berubah pada RM1 seunit dengan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 1.73 juta unit.

Penyenaraian itu sekali gus mencatatkan sejarah sebagai penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) terbesar dalam tempoh 13 tahun, selain menjadi antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara tahun ini.

Pengarah Pelaburan, Kewangan dan Akaun Paradigm REIT Management Sdn Bhd, Chong Kian Fah berkata, permintaan yang tinggi terhadap IPO tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap portfolio kukuh syarikat itu.

“Keseluruhan 426.6 juta unit yang ditawarkan telah dilanggan sepenuhnya selepas pelarasan dan pengagihan semula. Ia satu petunjuk bahawa pelabur percaya terhadap aset-aset berkualiti tinggi yang kami miliki dan strategi jangka panjang kami dalam menjana pulangan mampan,” katanya dalam sidang akhbar di Bursa Malaysia, semalam.

Menurutnya, tumpuan utama syarikat kekal dalam sektor runcit kerana kepakaran sedia ada, namun tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan aset lain seperti hotel dan hartanah industri.

“Apa-apa sahaja aset yang boleh memberi hasil menarik akan dipertimbangkan, tetapi fokus kami kekal pada sektor runcit kerana kami memang mahir dalam bidang itu.

“Bagi aset hotel, struktur jual dan pajak balik (sale and leaseback) menjadikan ia menarik kerana hasilnya terjamin dan kami tidak perlu uruskannya secara langsung.

“Sekiranya terdapat aset industri atau lain-lain yang sesuai, kami akan menilai kesannya terhadap hasil keseluruhan REIT,” katanya.

Tambah beliau, pembelian aset akan dibiayai melalui gabungan tunai dan unit sedia ada bagi mengelakkan terbitan unit baharu kepada pemegang unit.

“Nisbah pembayaran yang dirancang ialah 50 peratus tunai dan 50 peratus unit REIT. Tunai itu pula akan diperoleh menerusi terbitan nota jangka pertengahan (MTN),” katanya.

Paradigm REIT, yang ditaja oleh WCT Holdings Berhad dan diuruskan oleh Paradigm REIT Management juga komited untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pendapatan boleh agih secara separuh tahunan kepada pemegang unit.

Dengan portfolio semasa melibatkan tiga pusat beli-belah utama iaitu Paradigm Mall Petaling Jaya, Paradigm Mall Johor Bahru dan Bukit Tinggi Shopping Centre bernilai RM2.4 bilion, Paradigm REIT dilihat mampu memberikan pulangan stabil melalui aliran tunai yang mampan dan aset yang disewakan sepenuhnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN