Rundingan Malaysia-AS sentuh kestabilan pelaburan E&E

Rundingan perdagangan Malaysia-AS sentuh kestabilan pelaburan E&E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar soal perdagangan dua hala, tetapi menyentuh asas kestabilan pelaburan jangka panjang dan keyakinan pasaran terhadap dasar ekonomi Malaysia, kata penganalisis ekonomi.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ketidaktentuan dasar tarif AS khususnya tindakan mengklasifikasikan semula semikonduktor sebagai produk dikenakan tarif setelah pada awalnya dikecualikan adalah perkembangan yang membimbangkan.

Katanya, ini bukan sahaja untuk sektor eksport, malah keseluruhan rantaian bekalan global.

“Ekspot Malaysia ke AS tertumpu kepada semikonduktor yang merupakan bahagian utama dari eksport industri elektrik dan elektronik (E&E) negara, ia merupakan komponen penting. 

“Kita tidak boleh lihat isu ini hanya dari sudut eksport. Ia adalah soal kepercayaan jangka panjang syarikat multinasional (MNC) terhadap kestabilan dasar dan kedudukan Malaysia dalam ekosistem perdagangan global,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, industri E&E telah lama bertapak di negara ini dan telah berkembang berasaskan pelaburan asing, terutamanya dari AS. 

Selain itu, beliau berkata, industri pembuatan lain seperti perabot dan sarung tangan turut mempunyai pasaran eskport yang besar di AS.

“Malaysia akan mencapai pencapaian yang baik jika rundingan perdagangan dengan AS untuk tarif timbal balas dapat diturunkan kepada lima hingga 10 peratus

“Berdasarkan rundingan semasa antara AS dan negara-negara lain, tiada lagi negara yang mencapai sifar peratus tarif timbal balas dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini negara sekutu AS yang paling awal dan telah memeterai perjanjian dengan mereka adalah United Kingdom (UK), manakala negara-negara lain seperti Malaysia masih berharap dapat berunding untuk menurunkan lagi tarif yang ditangguhkan untuk 90 hari.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, akan berlaku impak negatif kepada ekonomi Malaysia jika kesepakatan tidak dicapai dalam rundingan tersebut.

Beliau berkata, produk seperti panel solar, perabot dan sebagainya akan mengalami penurunan permintaan disebabkan tarif yang bakal dikenakan. 

“Namun untuk jangka masa panjang, ekonomi Malaysia akan kembali pulih dengan syarat Malaysia berjaya mencari alternatif pasaran untuk barangan mereka dan tidak lagi bertumpu kepada pasaran AS semata-mata,” ujarnya.

Selasa lalu,  Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tiba di AS bagi mengadakan rundingan tarif timbal balas menjelang tamatnya tempoh pengecualian sementara pada 8 Julai ini.

Tengku Zafrul berkata, fokus utama pasukannya adalah rundingan bagi memastikan akses pasaran yang lebih baik dan menyelesaikan isu-isu berkaitan rantaian bekalan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN