Rehda, PPK bimbang peluasan SST jejas harga rumah, kos peruncitan

Rehda, PPK bimbang peluasan SST jejas harga rumah, kos peruncitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-belah Malaysia (PPK Malaysia) melahirkan kebimbangan terhadap peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula pada 1 Julai 2025.

Menurut kedua-dua persatuan, peluasan SST ini dijangka meningkatkan kos pembinaan dan operasi, sekali gus memberi tekanan kepada harga rumah.


“Peluasan cukai itu juga dijangka membebankan pemaju hartanah, yang akhirnya memberi kesan kepada kemampuan rakyat untuk memiliki rumah.

“Malah, sektor peruncitan turut terkesan, khususnya kompleks beli-belah, dengan peningkatan kos yang boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik.

“Justeru, Rehda dan PPK menyarankan agar kerajaan menilai semula langkah ini bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi pengguna dan pasaran hartanah negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

PPK menambah, selama ini pemain sektor berkenaan sebenarnya sudah berada di bawah ‘tekanan serius’ apabila kos semasa yang meningkat dan gangguan luaran telah menjejaskan tahap kestabilan operasi dan daya maju jangka panjang perniagaan masing-masing.

Organisasi itu turut merujuk suasana ketidaktentuan berterusan ekonomi global, termasuk perang tarif, gangguan rantaian bekalan, serta persaingan serantau dan digital yang semakin sengit, terus mencabar perniagaan runcit berkembang konsisten.

“Justeru, PPK Malaysia memberi amaran bahawa tekanan kos ini dan kenaikan tarif elektrik yang juga dijangka pada tarikh sama, boleh menjejaskan kesinambungan perniagaan serta melemahkan pula sentimen keseluruhan pasaran,” katanya. 

Presiden Rehda Malaysia, Datuk Ir. Ho Hon Sang berkata, pihaknya  masih belum mengenal pasti kesan sepenuhnya, namun menjangkakan langkah ini akan memperlahankan pasaran kerana pemaju perlu menyesuaikan semula perancangan mereka.

Jelasnya, situasi ini bukan sahaja membebankan pemaju, malah turut menjejaskan kemampuan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

 

 

“Kami bimbang terhadap kesan tidak langsung yang dijangka berlaku terhadap sektor hartanah melalui pengumuman mengenai semakan semula struktur SST yang bertujuan meningkatkan hasil negara dari Kementerian Kewangan baru baru ini,” katanya.

Rehda turut merayu agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST tersebut yang dijadualkan bermula dalam tempoh kira-kira dua minggu dan mencadangkan tempoh tangguh sehingga tahun 2026.

“Kami merayu dengan penuh hormat agar kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh pelaksanaan SST ini yang dijangka akan bermula dalam tempoh kira-kira dua minggu dari sekarang. 

“Ramai dalam kalangan ahli kami, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), masih belum mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan tempoh penangguhan sehingga  2026 akan membolehkan mereka membuat persiapan yang sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN