PETALING JAYA: Rakuten Trade Sdn. Bhd. menyemak turun unjuran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagi 2025 kepada 1,630 mata, berikutan penurunan unjuran pertumbuhan pendapatan serta sifat pelaburan jangka pendek oleh pelabur asing.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, sasaran baharu itu berasaskan anggaran 16.0 kali nisbah harga berbanding pendapatan (PER) untuk tahun kewangan 2025, lebih rendah berbanding sasaran terdahulu yang dibuat berdasarkan unjuran pendapatan lebih tinggi.
“Paras 1,500 lazimnya dilihat sebagai tahap sokongan psikologi bagi KLCI.
“Sekiranya indeks jatuh di bawah paras ini, contohnya ke 1,480 mata atau 1,470 mata, saya berpendapat ia peluang beli yang baik untuk pasaran tempatan. Tidak perlu fikir panjang, tutup mata dan beli,” katanya pada taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku ketiga 2025.
Beliau berkata, penstrukturan semula dana dijangka terus berlaku memandangkan faktor penilaian akan memainkan peranan penting dalam sentimen pelaburan ‘risk-off’.
“Sehubungan itu, aliran dana dijangka kembali ke pasaran yang menawarkan penilaian munasabah terutamanya di rantau Asia.
“Bagaimanapun, walaupun pasaran Asia Tenggara menawarkan penilaian yang menarik, aliran masuk dana asing masih belum memberangsangkan setakat ini,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi ringgit, beliau berkata, pihaknya melihat mata wang tempatan sedang melalui fasa penyesuaian semula.
“Ringgit dijangka berlegar dalam julat RM4.10 hingga RM4.20 disokong oleh kebimbangan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) yang berkemungkinan mendorong kepada penurunan kadar faedah,” ujarnya.-UTUSAN










