KUALA LUMPUR: Perdagangan tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan Singapura sejak Disember lalu membuktikan langkah penting Malaysia secara rasmi menjadikan Projek Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) sebagai realiti.
Presiden Tenaga Nasional berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan berkata, pihaknya kini berada di barisan hadapan dalam memperluas kerjasama tenaga serantau.
Katanya, perdagangan elektrik hijau rentas sempadan dari Malaysia ke Singapura telah mencapai antara 30 hingga 50 megawatt dan ia menggunakan sambungan grid sedia ada yang mampu menampung sehingga 1,000 megawatt.
“Ini adalah sebahagian daripada projek perintis untuk menilai potensi perdagangan tenaga berskala besar antara negara ASEAN.
“Malah, ia bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan sistem tenaga kedua-dua negara, tetapi juga membuka laluan kepada perdagangan tenaga serantau secara komersial,” katanya dalam forum ‘Memacu pertumbuhan Malaysia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
TNB kini sedang giat meneroka sambungan grid baharu dengan beberapa negara ASEAN lain, termasuk Vietnam, Indonesia, Kemboja, dan Thailand.
Sambungan tersebut boleh dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu kabel dasar laut atau sambungan darat merentasi beberapa negara ASEAN, dengan menjadikan Malaysia sebagai hab utama tenaga bersih serantau.
Pada masa yang sama, TNB juga memperuntukkan RM43 bilion dalam tiga tahun akan datang untuk menaik taraf grid di Semenanjung Malaysia, menjadikannya lebih fleksibel untuk menerima tenaga, sekali gus menyokong peningkatan permintaan tenaga dalam negara.
Dalam masa sama, Megat Jalaludin berkata, antara cabaran utama ASEAN Power Grid- APG adalah menyelaraskan peraturan dan undang-undang tenaga antara negara ASEAN, membangunkan infrastruktur fizikal serta mewujudkan mekanisme perdagangan kuasa yang stabil dan komersial.
“Kerjasama tenaga tidak hanya melibatkan infrastruktur fizikal, tetapi juga pemerkasaan sumber manusia. Kami melihat keperluan untuk memperluas pertukaran bakat dalam sektor tenaga dan juga industri berkaitan seperti minyak dan gas bagi mempercepat inovasi,” ujarnya.
Beliau berkata, perkembangan ini juga menandakan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju dalam agenda peralihan tenaga dan integrasi pasaran elektrik ASEAN, selaras dengan aspirasi serantau untuk masa depan tenaga yang mampan dan lebih stabil.-UTUSAN









