PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia mengalami kemerosotan ketara sebanyak 37.3 peratus pada bulan April lalu berbanding Mac 2025, iaitu daripada 28,739 tan metrik kepada hanya 18,008 tan metrik.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan sebanyak 15.6 peratus berbanding April 2024 yang mencatatkan 21,325 tan metrik.
“Majoriti pengeluaran getah asli Malaysia pada April 2025 disumbangkan oleh sektor pekebun kecil sebanyak 86 peratus berbanding sektor estet yang hanya 14 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, jumlah stok getah asli pada April 2025 turut menurun 6.7 peratus kepada 203,728 tan metrik berbanding 218,253 tan metrik pada Mac.
“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.6 peratus diikuti kilang pengguna getah (12.3 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
“Prestasi eksport getah asli Malaysia turut terjejas dengan mencatatkan penurunan 31.7 peratus kepada 35,901 tan metrik pada April 2025 berbanding 52,531 tan metrik pada Mac lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli negara dengan menyumbang 33.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April lalu, diikuti Emiriah Arab Bersatu (14.9 peratus), Jerman (14.2 peratus), India (6.5 peratus) dan Amerika Syarikat (5.1 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Walau bagaimanapun, produk sarung tangan getah yang merupakan eksport utama mencatatkan nilai RM1.1 bilion pada April 2025, menurun 19.2 peratus berbanding Mac 2025 (RM1.3 bilion),” katanya.
Menurut beliau, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan 7.0 peratus daripada 696.05 sen sekilogram pada Mac kepada 647.20 sen sekilogram pada April.
Manakala, sekerap pula menurun lebih ketara iaitu 15.8 peratus daripada 761.92 sen sekilogram kepada 641.27 sen sekilogram.
“Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) turut menurun antara 6.9 peratus dan 13.5 peratus,” katanya.
Sementara itu, menurut Data Harga Komoditi Bank Dunia, harga getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 13.9 peratus daripada AS$1.98 sekilogram kepada AS$1.71 sekilogram, manakala SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 10.1 peratus daripada AS$2.36 sekilogram kepada AS$2.13 sekilogram.-UTUSAN