KUALA LUMPUR: New Energy Asia Sdn. Bhd. (New Energy Asia), usaha sama baharu antara HICOM Engineering Sdn. Bhd. (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd. (HFC) memperkenalkan rangkaian peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.
Ia turut bakal menyokong sasaran negara untuk mencapai 10,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia kini berada pada landasan peralihan tenaga dengan komitmen mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Bagi stesen pengecasan EV, sasaran kita ialah 10,000 menjelang akhir tahun dan setakat ini lebih 4,000 stesen telah siap dibangunkan.
“Ini diharap penambahan dapat dipercepatkan menerusi penyertaan lebih banyak syarikat yang merancang membangunkannya di Malaysia.
“Saya percaya inisiatif seperti ini akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh negara dan seterusnya meningkatkan penjualan kenderaan EV.
“Paling penting, alam sekitar kita akan lebih terpelihara dan pelepasan karbon dapat dikurangkan,” katanya kepada media selepas menyaksikan pemeteraian kerjasama tersebut di sini, semalam.
Usaha sama itu bakal mempunyai hak eksklusif bagi pemasaran peralatan pengecasan EV di rantau ASEAN.
HESB merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, manakala HFC pula anak syarikat Lotus Technology Inc.
Beliau merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, dengan penglibatan lebih ramai pemain industri dalam ekosistem EV, pembangunan infrastruktur tempatan dijangka dapat dipertingkatkan, sekali gus merancakkan pasaran kenderaan elektrik di negara ini.
“Makin ramai yang menyertai, sudah tentu pembangunan stesen pengecasan dapat dipercepatkan. Itu yang kita harapkan,” ujarnya.
Pengerusi HESB dan engarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, New Energy Asia akan mengedar pelbagai peralatan pengecasan EV, berjenama Lotus yang dihasilkan oleh HFC, termasuk pengecas DC 450kW penyejuk cecair berjenama LOTUS yang mampu mengecas model Lotus Emeya daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam hanya 14 minit.
“Selain itu, syarikat ini turut menawarkan pengecas AC pintar 7kW, 11kW dan 22kW yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna, pengecas DC penyejuk udara 30 hingga 240 kW dan pengecas DC penyejuk cecair berkapasiti 300 hingga 450 kW.
“New Energy Asia juga akan membekalkan sistem penyimpanan tenaga termaju bagi memenuhi permintaan penyelesaian tenaga mampan untuk kegunaan domestik dan komersial,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi HICOM Engineering, Hazrin Fazail Haroon pula berkata, HFC di bawah Kumpulan Lotus berpengalaman luas dalam pembangunan pengeluar peralatan tulen (OEM) kenderaan dan kini memfokuskan kepakaran kepada teknologi pengecasan.
“Ketika ini, pasukan kami sedang menjalani latihan di HFC, China bagi mendalami teknologi pengecasan arus ulang-alik (AC) dan arus terus (DC). Sekiranya berlaku sebarang isu di Malaysia, sokongan teknikal akan diberikan secara dalam talian oleh pasukan di China,” ujarnya. – UTUSAN