MBSB sasar baki akhir pembiayaan cecah RM50 bilion

MBSB sasar baki akhir pembiayaan cecah RM50 bilion menjelang 2026

RAFE Haneef (kiri), Pengerusi MBSB Group, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (tengah), dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MBSB, Shahnaz Jammal (kanan) melihat buku laporan tahunan ketika Mensyuarat Agung Tahunan ke-55 MBSB di Sime Darby Convention Centre semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MBSB Bank Berhad (MBSB) menyasarkan baki akhir pembiayaan mencecah RM50 bilion menjelang 2026, selari dengan pelan strategik yang diumumkan secara rasmi bank itu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, sasaran itu mengambil kira pertumbuhan berterusan dalam permintaan pembiayaan serta penyusunan semula portfolio pinjaman sedia ada.

“Setakat Disember 2024, jumlah buku pinjaman bersih MBSB dianggarkan sekitar RM43 bilion, selepas mengambil kira pelarasan dan penghapusan (write-off) daripada jumlah keseluruhan RM43.7 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

“Kami optimis dapat mencapai sasaran RM50 bilion menjelang 2026 di disokong oleh pengenalan produk produk baharu dalam sektor komersial dan konsumer yang lebih menyeluruh dan berkualiti,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MBSB ke-55 di sini. 

Menurutnya, MBSB turut mencatat kemajuan memberangsangkan dalam pelan transformasi tiga tahun, FLIGHT26, apabila 30 daripada 38 program serta 24 daripada 27 inisiatif pasca penggabungan dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) berjaya dilaksanakan setakat ini.

“Kejayaan pelaksanaan itu mencerminkan kemajuan kukuh dalam usaha penyatuan operasi, penambahbaikan sistem serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Tahun kewangan 2024 merupakan tahun penuh pertama penyatuan MIDF ke dalam kumpulan, menyumbang kepada pertumbuhan hasil sebanyak 31 peratus.

“Ini dipacu oleh kenaikan 27 peratus pendapatan dibiayai serta lonjakan 318 peratus pendapatan bukan dibiayai, tidak termasuk keuntungan sekali sahaja daripada pengambilalihan pada 2023,” ujarnya.

Bagi tahun kewangan 2024, MBSB mencatat jumlah pembiayaan sebanyak RM43 bilion. Nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) meningkat kepada 11.1 peratus, melepasi paras dua digit buat pertama kali, manakala nisbah kos kepada hasil (CIR) bertambah baik kepada 54.9 peratus dan pulangan atas ekuiti (ROE) dicatatkan pada 4.2 peratus.

Dalam masa sama, MBSB turut memperkukuh agenda pendigitalan dengan penaiktarafan platform MJourney serta pelancaran beberapa produk baharu termasuk pelaburan Unit Amanah melalui iFAST, Pembiayaan Kenderaan-i, solusi penggajian WorksForMe, emas digital PrimeGold-i dan perlindungan takaful MShield.

Bagi segmen perbankan komersial dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), antara penawaran baharu termasuk Retailer Dashboard, platform pembayaran BAYO Pay, pembiayaan aeroangkasa bernilai RM1 bilion serta pembiayaan hartanah M-Property.

Dari segi kelestarian, MBSB telah menggerakkan pembiayaan hijau dan transisi sebanyak RM4.73 bilion setakat ini, iaitu 47 peratus daripada sasaran menjelang 2026, di samping berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 12 peratus serta menyumbang lebih 6,000 jam sukarelawan kepada komuniti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN