Malaysia tonjol pensijilan lestari minyak sawit bertaraf global di Expo 2025 Osaka

Malaysia tonjol pensijilan lestari minyak sawit bertaraf global di Expo 2025 Osaka

sawit
JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSAKA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pensijilan komoditi lestari menerusi pelaksanaan MSPO 2.0, satu penambahbaikan kepada piawaian asal di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani  dalam satu kenyataan memberiahu, penglibatan MSPO 2.0 dalam program rasmi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Ekspo 2025 Osaka mengukuhkan lagi hasrat Malaysia untuk menjadikan pertanian mampan sebagai teras utama perdagangan masa hadapan dan diplomasi ekonomi negara.

Katanya, bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran antarabangsa, negara turut menyasarkan untuk memperluaskan lagi capaian produk hiliran dan bernilai tambah berasaskan sawit, khususnya dalam segmen lemak khas, tokotrienol, minyak sawit merah, serta papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) berasaskan biojisim sawit bagi kegunaan perumahan dan perabot.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu agensi penyelidikan dan pelesenan di bawah KPK, turut memeterai perjanjian serta mengadakan perbincangan berkaitan peluang perniagaan dalam sektor agri-komoditi sawit sepanjang ekspo tersebut, bagi memperkasa pembangunan perdagangan dengan Jepun dan rantau Asia.

“Kemampanan bukan lagi satu pilihan dalam perdagangan; ia kini menjadi prasyarat. MSPO 2.0 merupakan deklarasi tegas Malaysia kepada dunia bahawa kita benar-benar komited untuk mentransformasikan sektor komoditi negara selaras dengan jangkaan global. Kita sedang menerapkan prinsip kemampanan di setiap peringkat, daripada ladang pekebun kecil hinggalah ke pasaran antarabangsa, bagi memperkukuh integriti keseluruhan ekosistem kita. Malah, kita turut menyasarkan agar model MSPO ini dapat diperluaskan ke seluruh sektor komoditi negara,” katanya.

Menurut beliau, keyakinan terhadap pensijilan MSPO turut diperkukuh minggu ini menerusi pemeteraian kerjasama rasmi antara MSPO dan AEON Jepun. Inisiatif ini merupakan langkah jelas ke arah memperluaskan lagi produk yang telah mendapat sijil MSPO dalam saluran runcit pengguna, memandangkan produk berasaskan sawit berlabel MSPO kini telah mula menembusi pasaran antarabangsa.

“Langkah ini turut disokong oleh Global Alliance for Sustainable Supply Chain (ASSC) Jepun, yang komited memperkasa pensijilan MSPO dalam rangkaian korporat Jepun termasuk AEON, Meiji, Ajinomoto dan KAO.

“Perkembangan ini sekali lagi mencerminkan pengiktirafan pasaran antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam menerajui pensijilan komoditi secara telus dan mampan.

“Dalam usaha meningkatkan standard MSPO 2.0 ini, MS 2530:2022 turut memperkenalkan kriteria baharu yang meliputi kawalan penebangan hutan, mitigasi gas rumah hijau, perlindungan hak pekerja, dan pemeliharaan Kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV).

“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap piawaian global semasa antarabangsa dan direka bentuk untuk meningkatkan kredibiliti sektor minyak sawit dalam konteks piawaian ESG yang semakin mencabar. Sehingga kini, sebanyak 86 peratus kawasan tanaman sawit negara telah diperakui di bawah MSPO, dan usaha berterusan sedang digerakkan untuk mencapai sasaran 95 peratus pensijilan menjelang akhir tahun 2025,” katanya.

Seterusnya, bagi menyokong pelaksanaan yang lebih meluas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta di bawah Belanjawan 2025.

Peruntukan ini merangkumi bantuan teknikal, sokongan audit dan pembangunan sistem keterjejakkan (traceability tools) khusus bagi pekebun kecil. Langkah ini penting bagi memastikan pengeluar berskala kecil turut dapat menembusi pasaran global yang semakin menitikberatkan kelestarian, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan model pensijilan yang inklusif, dan terangkum.

Selain sektor sawit, KPK turut memberi tumpuan kepada kenaf, tanaman industri yang sedang bertumbuh pesat dan diiktiraf kerana keupayaan tingginya dalam menyerap gas karbon dioksida serta sifat biodegradasinya yang tinggi.

Malah, permintaan global terhadap bahan berasaskan kenaf juga terus meningkat, dengan nilai pasaran dijangka melebihi USD10 bilion menjelang tahun 2032. Namun, pemantauan rapi dan pensijilan yang menepati piawaian antarabangsa kekal menjadi cabaran utama dalam usaha untuk menjadikan kenaf sebagai komoditi eksport yang berdaya saing.

Sejajar dengan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan komoditi hijau, sebanyak lima Memorandum Persefahaman (MoU) strategik telah dimeterai sempena Minggu KPK di Ekspo 2025.

Perjanjian ini merangkumi sektor-sektor utama seperti biomassa berasaskan sawit, lada hitam lestari, inovasi kenaf serta eksport koko, mencerminkan usaha pelbagai sektor Malaysia dalam memacu pembangunan komoditi
bernilai tinggi secara mampan.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan penglibatan lebih 21 kementerian dan 70 agensi di bawah satu naratif nasional yang bersepadu.

Sepanjang tempoh 26 minggu penganjuran, Pavilion Malaysia berperanan sebagai platform utama untuk forum perniagaan, pameran produk, sesi padanan perniagaan serta pemeteraian MoU, memperkukuh imej Malaysia
sebagai rakan dagang dan pelaburan masa hadapan.

Setakat ini, Malaysia telah mencapai 68% daripada sasaran RM13 bilion dalam bentuk potensi perdagangan dan pelaburan bagi Ekspo 2025. Pencapaian ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government approach) yang meletakkan pensijilan lestari, inovasi dan keterangkuman sebagai tunjang utama diplomasi ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN