Lachér Patisserie perkukuh operasi dapur pusat

Lachér Patisserie perkukuh operasi dapur pusat, kekalkan standard halal

LACHER PATISSERIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lacher Malaysia Sdn. Bhd. (Lachér Patisserie) terus memperkukuh operasi dapur pusatnya, sekali gus memastikan semua kek dalam menu tetap mengekalkan pensijilan halal sepenuhnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa menjejaskan kualiti pengeluaran.

Pengarah Bersamanya, Seng Kian berkata, permohonan pembaharuan sijil halal syarikat kini sedang dalam tempoh sah dan tahun ini menandakan kali pertama pensijilan halal kumpulan itu diperbaharui.

“Sejak memperoleh pensijilan halal, kami melihat peningkatan secara beransur-ansur dalam minat pelanggan Melayu.

“Walaupun sejak awal kami hanya menggunakan gelatin halal dan tidak memasukkan alkohol dalam kek, ia tetap mencabar untuk meraih kepercayaan mereka.

“Bagaimanapun, pensijilan halal telah banyak membantu meyakinkan pelanggan tentang komitmen kami dan kini semakin ramai pelanggan beragma Islam yakin untuk mencuba produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, proses mendapatkan pensijilan halal bukanlah sesuatu yang mudah, malah mengambil masa hampir setahun untuk diselesaikan.

“Selepas mendaftar dengan Jakim, kami perlu menyenaraikan semua bahan, mendapatkan dokumen sokongan daripada pembekal, menyusun semula premis, menjalani audit serta menghadiri latihan Latihan Kesedaran Halal (HAT). 

“Proses ini melibatkan semua jabatan termasuk dapur, operasi, pembelian, kawalan kualiti dan pengurusan tertinggi,” jelasnya.

Seng Kiat berkata, pihak Jakim turut menilai kesemua dokumen dengan teliti serta menjalankan audit secara berkala termasuk audit mengejut.

“Setiap ketidakpatuhan akan dilaporkan dengan terperinci dan memerlukan tindakan pembetulan segera.

“Walaupun pensijilan halal tidak diwajibkan dalam industri makanan dan minuman (F&B), kami percaya ia amat penting bagi membina keyakinan dalam kalangan pengguna Muslim,” ujarnya.

Tambahnya, pensijilan halal Jakim membuktikan komitmen syarikat terhadap pematuhan standard halal yang ketat dan memberikan jaminan kepada pelanggan tentang ketelusan bahan serta proses penyediaan kek.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat pencuci mulut premium yang terkenal dengan kek berinspirasikan Perancis itu belum merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN