KWAP, Malaysia Forest Fund jalin kerjasama perkasa agenda kelestarian

KWAP, Malaysia Forest Fund jalin kerjasama perkasa agenda kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Malaysia Forest Fund (MFF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi mempercepatkan agenda kelestarian Malaysia melalui pendekatan penyelesaian berasaskan hutan.

Kerjasama penting itu dijangka akan memperkukuh transisi Malaysia ke arah ekonomi emisi sifar bersih sambil mengukuhkan komitmen KWAP mencapai Portfolio Emisi Sifar Bersih menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP berhasrat memperkasakan syarikat-syarikat pelaburannya dengan alat yang diperlukan bagi mencapai komitmen emisi sifar bersih sambil menyumbang kepada matlamat iklim dan biodiversiti Malaysia.

“Kerjasama dengan MFF akan menjadi pemangkin perubahan bagi KWAP dan usaha kelestarian Malaysia yang lebih luas. Sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab, KWAP komited untuk memacu pengurusan melalui tindakan yang memberi impak dan mengejar tujuan melebihi pulangan. 

“Dengan menyumbang kepada pembangunan ekosistem karbon yang boleh dipercayai dan berasaskan negara, kami bertujuan untuk memberdayakan syarikat pelaburan kumpulan dengan alat yang mereka perlukan untuk memenuhi komitmen sifar bersih mereka sambil juga memberikan sumbangan yang signifikan kepada matlamat iklim dan biodiversiti Malaysia,” katanya.

MoU itu menampilkan Forest Conservation Certificate (FCC) bagi menyokong inisiatif pemuliharaan domestik dengan tumpuan memelihara biodiversiti dan ekosistem penting Malaysia.

Dalam pada itu, MFF juga akan menyelia pembangunan Forest Carbon Offset (FCO), mekanisme berasaskan pasaran yang membolehkan syarikat-syarikat mengimbangi emisi mereka melalui pelaburan dalam projek pemuliharaan hutan yang mengurangkan, menghapuskan dan mengelakkan pelepasan karbon.

Melalui MoU itu, KWAP menjadi peserta dalam Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Forest Carbon Offset (FCO) Kebangsaan yang ditubuhkan MFF. TWG bertujuan memastikan keperluan pelabur institusi termasuk nuansa pelaburan ESG, diintegrasikan ke dalam rangka kerja apabila berkaitan.

Penyertaan itu juga akan membantu menyelaraskan piawaian FCO dengan keperluan pasaran karbon antarabangsa dan amalan terbaik.

Inisiatif itu sejajar dengan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan 2.0 Malaysia bertujuan mendorong usaha perkongsian pengetahuan dan pembinaan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam pengurusan hutan dan pengimbangan karbon.

Ia termasuk menyokong pencapaian sasaran seperti pengurangan 45 peratus dalam intensiti karbon menjelang 2030 dan Emisi Sifar Bersih GHG menjelang 2050, serta komitmen Malaysia mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan dan pokok.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Shah Redza Hussein berkata, kerjasama dengan KWAP merupakan langkah penting dalam misi mengukuhkan pasaran karbon Malaysia, mencapai sasaran kelestarian negara dan mempercepatkan tindakan iklim bermakna.

“Dengan memanfaatkan solusi berasaskan alam semula jadi, khususnya melalui Forest Conservation Certificate dan Forest Carbon Offset yang akan datang, kami mewujudkan laluan bagi perniagaan ke arah mencapai matlamat emisi sifar bersih sambil menyokong pemuliharaan hutan,” katanya.

Kerjasama itu meletakkan KWAP sebagai pemimpin pemikiran dalam kelestarian, meningkatkan reputasinya dalam sektor kewangan sambil menyumbang pandangan berharga kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, KWAP dan MFF akan terus meneroka peluang meningkatkan sistem Forest Carbon Offset dan inisiatif penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang lain dan memastikan ia menjadi pemacu utama pembangunan mampan di Malaysia.

Perkongsian itu juga akan menyokong usaha berterusan membina kapasiti tempatan bagi pengurusan biodiversiti dan perhutanan, memastikan manfaat projek sampai kepada komuniti yang terlibat secara langsung.

KWAP juga akan berusaha membina kerjasama dengan MFF dengan melibatkan pihak berkenaan dalam mendorong tindakan kolektif, dengan harapan meneroka potensi kerjasama dengan sesama GLIC dan organisasi berkaitan, sejajar dengan inisiatif Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) Kementerian Kewangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN