PENCARIAN kenderaan yang menjimatkan bahan api masih menjadi keutamaan untuk pengguna tempatan, walaupun harga petrolnya lebih murah dari Arab Saudi, negara yang mengeksport bahan bakar itu ke Malaysia.
Beberapa bulan lalu, Nissan melancarkan Kicks e-Power, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak bersaiz Perodua Ativa yang dikatakan sebuah kenderaan elektrik (EV) berenjin.
Sebenarnya, Nissan tidak salah bila mengatakan ia adalah sebuah kenderaan elektrik kerana EV mempunyai beberapa jenis, kenderaan elektrik berbateri (BEV) dan kenderaan hibrid REEV (Range Extender Electric Vehicle) serta banyak lagi.
Kicks e-Power jatuh dalam kategori REEV kerana rodanya digerakkan oleh kuasa elektrik sahaja dan enjinnya hanya digunakan untuk menjana elektrik ke bateri.
Bateri yang ada pada Kicks e-Power ini cuma sebesar 2.06 kWh, saiz yang kita akan jumpa dalam skuter-skuter elektrik yang comel dan kerana ia kecil untuk sebuah SUV, enjin 1.2L 3-silinder tanpa turbo itu akan sering digunakan untuk memastikan bekalan elektrik pada bateri itu kekal wujud.
Adakah bateri itu mampu bertahan untuk ‘charge cycle’ atau kitaran cas yang tinggi?
Mungkin kerana Nissan tidak memberikan sebarang info yang berkaitan tetapi waranti yang diberikan jelas menunjukan syarikat itu yakin dengan kemampuan bateri Lithium Ion tersebut.
Edaran Tan Chong Motor, pengedar Nissan tempatan memberikan waranti selama lima tahun atau 100,000 kilometer (km) untuk Kicks e-Power itu sendiri tetapi bahagian elektriknya, termasuk bateri, inverter, motor elektrik dan komputer pengawal sistem itu menerima waranti lapan tahun atau 160,000 km.
Tenaga yang dihasilkan oleh motor elektrik pada Kicks e-Power ini ialah setinggi 129 PS dan 280 Nm, dengan harga RM114,000 ke RM126,000.
Jika kita bandingkan dengan Perodua Ativa, SUV kompak popular itu cuma memberikan 98 PS dan 140 Nm pada harga RM63,000 ke RM74,000.
Honda WR-V pula pada 121 PS dan 145 Nm pada harga RM90,000 ke RM108,000.
Penggunaan bahan api rasmi pula ialah 4.6L/100 km untuk Kicks e-Power, 5.3L/100 km untuk Ativa dan 6.0L/100 km untuk Honda.
Memang harga Nissan itu lebih tinggi tetapi sekiranya jarak perbatuan setahun anda tinggi, Kicks e-Power akan memberikan pulangan modal kepada anda dalam jangka masa panjang.
Reka bentuk luar dan dalam Kicks e-Power ini tidak boleh dikatakan sesuatu yang ‘wow’ kerana produk ini sebenarnya telah dilancarkan secara global dalam tahun 2020 di Thailand.
Ia kemudian dipertontonkan ke pengguna Malaysia pada penghujung tahun 2024 dan lima tahun selepas pelancarannya, ia tiba ke pasaran tempatan.
Reka bentuk berusia lima tahun ini sebenarnya tidak menimbulkan isu sangat sekiranya apa yang anda mahukan ialah sebuah SUV yang selesa dan efisien.
Penulis memandu selama seminggu dan mendapati ia jauh lebih senyap dari Ativa. Perodua itu terasa seperti duduk di dalam pasar yang hiruk pikuk berbanding dengan kabin Kicks e-Power yang sama senyap seperti Honda WR-V.
Keselesaan juga menjadi tunjak utama Kicks e-Power – ditambah dengan tempat duduk Zero Gravity untuk pemandu yang cukup selesa untuk perjalanan urban ataupun perjalanan jauh.
Prestasi pemanduan juga mengejutkan kerana ia terasa sangat lincah. Tenaga daya kilas itu masuk secara lancar dan menjadikan pemanduan lebih selesa kerana lancar.
Lebih penting lagi ialah kelincahan yang dirasakan kerana ia dipacu menggunakan tenaga elektrik di mana perasaan memandu bila daya kilas maksimum tercapai dalam masa jauh lebih cepat dari kenderaan berenjin turbo.
Perasan yang sama juga dirasai bila penulis memandu Ativa Hybrid selama tiga bulan dahulu cuma berbeza dengan Perodua itu, Kicks e-Power lebih senyap dan sangat kurang gegeran dari enjin.
Ya, Perodua ada 500 unit Ativa Hybrid 1.0L Turbo yang menggunakan konsep REEV yang sama seperti Nissan ini tetapi sayangnya tidak akan diperkenalkan untuk jualan kepada umum.
Penggunaan bahan api tidak serendah apa yang didakwa oleh Nissan, tetapi masih lebih rendah dari Ativa dan WR-V biasa dan ia juga sukar sedikit untuk mendapat bacaan bahan api serendah kenderaan hibrid biasa seperti Honda City/Civic/CR-V Hybrid atau Toyota Corolla Cross Hybrid.
Kenapa?
Kenderaan REEV tidak boleh memiliki saiz bateri yang besar kerana itu akan memerlukan saiz enjin yang lebih besar kerana tenaga dari bateri perlu diganti dengan cepat.
Penggantian tenaga elektrik ini penting kerana tidak seperti hibrid biasa, roda hanya berputar menggunakan tenaga dari bateri itu sahaja dan bateri tidak boleh dibiarkan sifar tanpa tenaga.
Gabungan bateri, enjin dan tangki bahan api pula akan menjadikan ia seberat kenderaan hibrid biasa dan kerana itu, jika anda lihat, penggunaan bahan api untuk REEV tidak akan menjadi serendah hibrid biasa.
Cuma di dalam konteks Malaysia, ini ialah satu-satunya SUV dengan dua punca kuasa (elektrik dan enjin) yang paling mampu milik yang anda boleh beli.
Tepuk dada tanya selera kerana Honda ada menawarkan City Hybrid dengan penggunaan bahan api serendah 3.6L/100 km, lebih rendah dari Kicks e-Power (4.6L/100 km).-UTUSAN











