SHAH ALAM:Dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai syarikat kurier terkemuka negara, J&T Express Malaysia terus mempergiat pelaburan dalam automasi operasi dan pembangunan tenaga kerja bagi memastikan perkhidmatan penghantaran kekal pantas dan tepat meskipun berdepan lonjakan permintaan e-dagang.
Pengurus Pusat Pengasingan Barang J&T Express Malaysia, Raymond Ng berkata, tumpuan utama syarikat pada tahun ini adalah meningkatkan keupayaan infrastruktur menerusi teknologi automasi di Hab Logistik Setia Alam yang kini menjadi nadi rangkaian penghantaran syarikat.
“Hab Logistik Setia Alam membolehkan kami mengurus hampir sejuta bungkusan setiap hari, namun kami tidak boleh bergantung kepada hab ini semata-mata.
“Pelaburan automasi baharu akan membantu kami mengekalkan kelajuan penghantaran walaupun pada musim puncak seperti 11.11 atau musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, J&T Express Malaysia memperkenalkan hab logistik pintar tercanggihnya setakat ini yang terletak di Setia Alam, Klang, dengan keupayaan mengendalikan sehingga 1.2 juta bungkusan dalam tempoh 24 jam serta menyokong lebih 300 pergerakan trak setiap hari.
Menurut beliau, selain aspek automasi, syarikat turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dengan memastikan pasukan operasi dilengkapi sistem, peralatan dan latihan kemahiran yang relevan bagi membolehkan operasi berjalan lebih cekap dan berskala besar.
“Kami tidak hanya mahu berkembang dari segi saiz rangkaian, sebaliknya fokus membina keupayaan dalaman yang mampan meliputi infrastruktur, teknologi dan pembangunan kemahiran pekerja.
“Semua ini penting bagi memastikan setiap bungkusan sampai dengan cepat dan tepat, selaras dengan jangkaan pelanggan hari ini,” katanya.
J&T Express Malaysia kini berada dalam kelompok teratas syarikat kurier dari segi jumlah bungkusan yang diuruskan di negara ini, dengan Hab Logistik Setia Alam sahaja menyumbang sebahagian besar kapasiti tersebut setiap hari.
Langkah memperkukuh automasi dan tenaga kerja itu juga seiring dengan pertumbuhan pesat sektor e-dagang negara yang terus memacu permintaan terhadap perkhidmatan kurier lebih pantas, mesra pelanggan dan menyediakan maklumat penjejakan secara masa nyata.
Tambahnya, pelaburan berterusan itu diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pelanggan, selain membolehkan J&T Express kekal kompetitif dalam pasaran yang semakin mencabar.-UTUSAN