Jangkaan kadar dividen KWSP perlu realistik

Jangkaan kadar dividen KWSP perlu realistik – Pakar ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dilakukan secara realistik dengan mengambil kira landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, komitmen pencarum untuk terus mencarum dan mengekalkan simpanan amat penting bagi memastikan mereka dapat meraih manfaat jangka panjang, termasuk kesan pengganda yang mampu meningkatkan nilai simpanan persaraan.

“Pada tahun ini, isu berkaitan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merupakan perkara tunjang yang akan menentukan hala tuju pertumbuhan ekonomi global serta keuntungan syarikat. 

“Justeru, para pencarum sewajarnya meletakkan pengharapan yang realistik terhadap kadar dividen bagi tahun semasa. 

“Yang pasti, pihak KWSP sentiasa berhemah dalam amalan pelaburan mereka melalui kepelbagaian dalam kelas aset pelaburan yang mana instrumen pendapatan tetap merupakan kelas terbesar yang akan memastikan nilai pokok pelaburan KWSP sentiasa terjamin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Kelmarin, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025, turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan ‘mark-to-market’ sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Menurut Mohd. Afzanizam, pendedahan dalam pasaran ekuiti terdiri daripada pelbagai industri serta bersifat global. 

“Justeru, kepelbagaian portfolio akan memastikan risiko pelaburan dapat dikurangkan. Masih terlalu awal untuk kita membuat jangkaan berapakah kadar dividen bagi tahun semasa. 

“Tempoh bertenang 90 hari yang dilaksanakan oleh kerajaan AS bagi membolehkan rundingan untuk dilaksanakan seharusnya boleh dilihat dalam sisi positif yang mungkin boleh melonjakkan sentimen pasaran pada masa hadapan. 

“Namun, tidak dinafikan risiko pelaburan telah meningkat disebabkan tahap ketidakpastian yang tinggi,” katanya. 

Sementara itu, mengulas prestasi suku pertama KWSP, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pulangan pelaburan KWSP yang lebih rendah telah dijangkakan berdasarkan ketidaktentuan keadaan pasaran kewangan global.

“Pasaran dunia ketika ini kekurangan dorongan positif ekoran ketidaktentuan hala tuju dasar ekonomi AS di bawah pentadbiran Donald Trump, yang menjejaskan sentimen pelabur termasuk di Bursa Malaysia.

“Selain itu, ketidakpastian berhubung masa sebenar penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) turut mengaburkan arah pasaran, manakala pengukuhan ringgit berbanding dolar AS menyumbang kepada pengurangan keuntungan daripada tukaran mata wang asing.

“Pelaburan dalam ekuiti yang mencatatkan penurunan sebanyak 23 peratus kepada RM10.81 bilion memberi petunjuk awal pulangan dividen tahun ini mungkin tidak sebaik tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, komitmen KWSP untuk terus memfokuskan pelaburan dalam pasaran domestik adalah langkah yang tepat dalam persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu.

“Meskipun 38 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP dilaburkan di luar negara, baki 62 peratus kekal dilaburkan dalam pasaran tempatan, selaras dengan usaha jangka panjang untuk menyokong pembangunan ekonomi negara.

“Dalam keadaan pergolakan global yang masih berterusan seperti perang dagang dan ketidaktentuan geopolitik, tumpuan kepada pelaburan domestik adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport dan memastikan kestabilan pulangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×