KUALA LUMPUR: Ketegangan yang memuncak di sekitar Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan antara 18 hingga 19 juta tong minyak atau 20 peratus daripada jumlah bekalan global setiap hari mendorong lonjakan harga minyak sejak beberapa hari lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, dunia masih berdepan cabaran tarif timbal balas yang menambah tekanan kepada sistem tenaga global.
“Ini walaupun ada pihak menganggap kenaikan harga minyak ini sebagai yang paling ketara sejak krisis tenaga 2022.
“Selain itu, sistem tenaga global yang sememangnya sudah tertekan akibat perkembangan semula jadi tamadun kita kini benar-benar berada dalam keadaan berisiko, meskipun kesan sebenar daripada semua peristiwa ini masih belum dapat diukur dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.
Tengku Taufik berkata, krisis tenaga di Eropah pada 2022 seharusnya menjadi pengajaran besar mengenai betapa rapuhnya sistem bekalan tenaga dunia terhadap kejutan geopolitik dan perubahan iklim.
Katanya, dalam masa sama, lonjakan permintaan tenaga elektrik juga didorong oleh perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam sektor pusat data.
“Permintaan elektrik daripada pusat data dijangka melonjak kepada 945 terawatt menjelang 2030 berbanding 415 terawatt pada 2024. Ini lebih dua kali ganda dalam tempoh hanya enam tahun.
“Situasi ini menuntut penyesuaian segera dalam sistem tenaga dan pelaburan infrastruktur baharu bagi memenuhi lonjakan permintaan tersebut.
“Tenaga adalah pemacu pembangunan manusia. Tiada revolusi teknologi akan berlaku tanpa sumber tenaga yang mencukupi, cekap dan boleh diakses,” ujarnya.-UTUSAN