PETALING JAYA:Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih cekap dan telus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sistem tersebut dilihat memberi kesan kepada industri serta menjejaskan daya saing eksport negara.
Katanya, SST bersifat sempit dan bertindih serta meningkatkan kos dan merencatkan rantaian bekalan.
“Justeru, kami melaksanakan GST semula yang direka bentuk dengan baik termasuk pengecualian eksport dan barangan asas, akan mengurangkan kesan cukai bertindan, meningkatkan pematuhan dan memperkukuh hasil negara secara mampan.
“Ini akan mengurangkan kesan cukai atas cukai (tax-on-tax), meningkatkan pematuhan cukai dan secara mampan mengukuhkan hasil negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, katanya pelaksanaan GST juga akan membolehkan pengurangan lebih pantas terhadap defisit fiskal dan hutang negara, di samping memberikan fleksibiliti dasar untuk mengurangkan cukai langsung seperti cukai pendapatan korporat dan individu.
Jelas beliau, peralihan kepada GST akan menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan yang lebih berdaya saing dan menarik serta menyokong daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.
“FMM percaya Malaysia mesti beralih kepada kerangka cukai yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa depan. Dalam masa sama, semakan menyeluruh dan penangguhan peluasan SST amat diperlukan dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST mulai 1 Julai 2025 secara bersasar yang memperlihatkan barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, ‘essential oil’, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Mulai 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, anggaran awal FMM menunjukkan bahawa perniagaan dalam sektor logistik, pembuatan dan peruncitan yang bergantung kepada premis sewaan berisiko menghadapi peningkatan kos tahunan antara RM24,000 hingga RM60,000 bagi setiap premis akibat cukai perkhidmatan lapan peratus.
Beliau berkata, kos tambahan ini mungkin terpaksa dipindahkan kepada pengguna atau memaksa perniagaan mengecilkan operasi.
Justeru, katanya, FMM menggesa kerajaan supaya menjalankan semakan menyeluruh terhadap peluasan SST, disokong oleh penilaian impak ekonomi yang komprehensif merangkumi kesan terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP), kos input, daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan daya saing perniagaan secara keseluruhan.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menyelaraskan garis masa pelaksanaan dan proses pentadbiran dengan realiti operasi industri.
Sehubungan itu, katanya, FMM meminta kerajaan supaya menangguhkan lagi penguatkuasaan peluasan skop SST yang dijadualkan bermula 1 Julai 2025, sehingga semakan selesai dan kesiapsiagaan pelaksanaan dalam kalangan industri benar-benar terjamin.
“FMM turut meminta agar senarai pengecualian diperluaskan, khususnya bagi perbelanjaan modal seperti jentera dan peralatan yang digunakan dalam pengeluaran, kerana mengenakan cukai ke atas input-input ini akan terus memberi kesan kepada keputusan pelaburan, pemodenan industri dan daya saing jangka panjang,” katanya. – UTUSAN