Titijaya ambil alih dua aset RM105j di Kota Kinabalu - Utusan Malaysia

Titijaya ambil alih dua aset RM105j di Kota Kinabalu

LIM POH YIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju gaya hidup bandar, Titijaya Land Berhad (Titijaya) umum cadangan pengambilalihan dua aset hartanah di Kota Kinabalu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM105 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya di Sabah dan wilayah Malaysia Timur secara keseluruhan.

Cadangan pengambilalihan pertama bernilai RM99 juta melibatkan pembelian sebidang tanah yang telah siap kerja-kerja asas, termasuk dua blok bangunan penginapan pelajar setinggi 19 tingkat yang dibina khusus, merangkumi 513 unit apartmen gaya studio.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, mengumumkan pengambilalihan aset-aset ini membuka lembaran baharu dalam penglibatannya di Sabah.

Katanya, langkah ini sejajar dengan pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kelestarian kumpulan dalam pembangunan hartanah iaitu dengan meningkatkan ketersediaan penginapan berkualiti untuk pelajar universiti awam.

Tambahnya, ia juga menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai demi manfaat sosial dan awam.

“Selain itu, penyesuaian semula bangunan sedia ada dengan menyiapkan baki kerja pembinaan akan mengurangkan pelepasan karbon secara ketara berbanding membina bangunan baharu sepenuhnya.

“Langkah ini juga selari dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kami untuk mempelbagaikan aliran pendapatan dan pangkalan pelanggan serta mengembangkan jejak kami ke luar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua blok apartmen ini mampu menempatkan seramai 3,078 pelajar.

“Selepas pengambilalihan, Titijaya bercadang untuk mengendalikan bangunan tersebut yang telah siap serta menyiapkan baki kerja pembangunan, memanfaatkan permintaan sedia ada dan yang semakin meningkat terhadap penginapan pelajar dan perumahan di kawasan sekitarnya.

“Cadangan pengambilalihan kedua pula bernilai RM6 juta, melibatkan sebidang tanah dengan struktur bangunan sedia ada yang asalnya dibina untuk projek Kompleks Koperasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilancarkan pada 2012.

“Pelan asal pembangunan merangkumi pembinaan sebuah bangunan apartmen 14 tingkat dengan 476 unit apartmen, satu blok kedai setingkat yang menempatkan 38 unit, serta sebuah podium tempat letak kereta tiga tingkat.

“Namun, projek ini telah terbengkalai dan tidak disiapkan. Selepas pengambilalihan, Kumpulan merancang untuk menyambung semula projek berkenaan bagi membangunkan hartanah kediaman baharu,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua pengambilalihan ini dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sembilan bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN