PETALING JAYA: TA Securities Holdings Bhd. mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor perladangan, sambil mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun 2025 pada RM3,800 setan.
Firma pemborkeran berkata, stok MSM Malaysia melonjak sebanyak 19.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.87 juta tan pada April 2025, melebihi jangkaan pasaran sebanyak 1.79 juta tan.
“Kenaikan stok ini didorong oleh peningkatan pengeluaran kepada 1.69 juta tan (21.5 peratus bulan ke bulan), jauh mengatasi jangkaan konsensus sebanyak 1.62 juta tan.
“Import minyak sawit pula susut dengan ketara kepada 58,000 tan (52.2 peratus bulan ke bulan), manakala eksport mencatat peningkatan sederhana sebanyak 9.6 peratus kepada 1.10 juta tan.
“Penggunaan domestik, bagaimanapun, menurun dengan ketara kepada 339,000 tan (24.7 peratus bulan ke bulan). Secara keseluruhan, kami melihat data ini sebagai tanda penurunan harga minyak sawit,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, dari awal tahun sehingga kini, pengeluaran MSM susut 1.0 peratus tahun ke tahun kepada 5.50 juta tan, manakala eksport merosot 13.4 peratus tahun ke tahun kepada 4.28 juta tan.
Sebaliknya, firma berkata, penggunaan domestik meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun kepada 1.40 juta tan dan import lebih tiga kali ganda kepada 335,000 tan.
Bagi pelabur yang berminat dalam sektor perladangan, TA Securities mengekalkan saranan beli bagi dua kaunter utama iaitu IOI Corporation Bhd. dan United Malacca Bhd, masing-masing pada harga sasaran (TP) RM3.94 dan RM5.58
Sementara itu, saham-saham lain termasuk SD Guthrie Bhd, Kuala Lumpur Kepong Berhad, TSH Resources Berhad dan Kim Loong Resources Bhd disarankan untuk ‘pegang’
Syarikat perladangan besar, FGV Holdings Berhad pula terus dikekalkan sebagai jual dengan TP RM1.03.
“Risiko kelemahan utama kepada cadangan sektor kami termasuk Bekalan kacang soya Amerika Selatan ternyata lebih rendah daripada jangkaan pasaran, kisah pemulihan permintaan yang lebih menjanjikan, pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah daripada jangkaan dan pengurangan ketara dalam kos pengeluaran,” ujarnya.
Selain itu, firma berkata, perdagangan global turut mempengaruhi sentimen pasaran.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat dan China mencapai persetujuan untuk menangguhkan tarif selama 90 hari, yang memberikan sedikit kelegaan kepada sektor pertanian, walaupun soya Brazil terus menjadi pembekal utama ke China dengan penghantaran yang dijangka meningkat sebanyak 48 peratus pada April 2025.-UTUSAN










