Sapura Energy kembali catat untung selepas enam tahun - Utusan Malaysia

Sapura Energy kembali catat untung selepas enam tahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sapura Energy Berhad (SEB) kembali mencatatkan keuntungan selepas enam tahun apabila meraih RM190 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 berbanding kerugian sebanyak RM509 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pendapatan SEB turut meningkat 8.9 peratus kepada RM4.7 bilion, manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) mencecah RM524 juta.

Bagaimanapun, menurut laporan Juruaudit Luar, Messrs. Ernst & Young PLT (EY), penyata kewangan SEB disediakan berdasarkan asas berterusan, namun terdapat ketidakpastian material memandangkan liabiliti semasa melebihi aset semasa serta kekangan aliran tunai yang ketara.

“Asas berterusan ini bergantung kepada kejayaan pelaksanaan Pelan Pemulihan yang Dicadangkan sebelum 11 Mac 2026, termasuk pelaksanaan Skim Pengaturan (SOA), perjanjian pembiayaan dan penyelesaian komersial projek kejuruteraan dan pembinaan (E&C) yang telah ditamatkan.

“Syarikat sebelum ini turut menerima petanda ketidakpastian serupa dalam laporan kewangan bagi 2022, 2023 dan 2024,” katanya dalam kenyataan.

Ketidakpastian tersebut termasuk lanjutan perintah sekatan, keputusan yang memihak dalam tuntutan undang-undang berhubung projek E&C yang ditamatkan dan kejayaan serta kelulusan tepat pada masanya.

Ini bagi cadangan SOA dengan sokongan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pemiutang skim dalam mesyuarat yang dipanggil mahkamah.

Mengulas lanjut, SEB berkata, beberapa pencapaian utama telah direkodkan sepanjang tempoh ini, termasuk penjualan 50 peratus pegangan dalam SapuraOMV Upstream Sdn. Bhd. pada Disember 2024, dengan hasil digunakan bagi mengurangkan hutang.

“Antara 21 hingga 27 Februari 2025, pemiutang telah meluluskan cadangan SOA melibatkan Sapura Energy dan 22 anak syarikatnya, manakala Mahkamah Tinggi turut meluluskan skim tersebut pada 6 Mac lalu.

“Syarikat juga berjaya mencapai penyelesaian bersyarat bagi beberapa kontrak E&C legasi serta menandatangani Perjanjian Pembiayaan Bersyarat dengan Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. (MDH) bagi pelaburan sehingga RM1.1 bilion, khusus bagi penyelesaian liabiliti vendor tempatan.

“SEB kini dalam peringkat akhir memuktamadkan Pelan Pemulihan yang dijangka dikemukakan kepada Bursa Malaysia pada Mei 2025,” katanya

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah SEB menyatakan keyakinan terhadap hala tuju masa depan syarikat, susulan kemajuan pelaksanaan tindakan penstrukturan utama yang akan menjadi asas kukuh kepada pelan pemulihan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN