Rundingan tarif bukti kerajaan komited tangani cabaran perdagangan - Utusan Malaysia

Rundingan tarif bukti kerajaan komited tangani cabaran perdagangan

MALAYSIA yang merupakan salah satu negara pengeluar dan pengeksport utama dalam industri elektronik, automotif dan komoditi, akan berdepan dengan peningkatan kos pengeluaran apabila harga bahan mentah dan komponen import meningkat akibat tarif AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) penting bagi meredakan kegelisahan dalam kalangan rakyat dan komuniti perniagaan, selain menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani cabaran perdagangan secara terancang, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tempoh rundingan selama 90 hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi perbincangan diplomatik serta sesi libat urus bersama pemain industri bagi mengenal pasti langkah mengurangkan tarif dan memperkukuh daya saing negara.

“Sidang Khas Parlimen sepatutnya menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani permasalahan ini dan perkongsian ini seharusnya dapat meredakan kegelisahan dikalangan rakyat dan komuniti perniagaan dan pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Afzanizam berkata, pendekatan Malaysia yang tidak mengenakan tarif balas terhadap AS sejak awal membuka ruang positif untuk perbincangan dua hala secara konstruktif.

“Sememangnya, tarif AS diturunkan adalah perkara yang diharapkan. Justeru ini membuka ruang bagi Malaysia untuk berunding secara diplomatik dengan AS,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh perbezaan tafsiran kadar tarif antara kedua-dua negara yang perlu ditangani melalui dialog terbuka, selain memanfaatkan peluang untuk membina keupayaan negara dari sudut struktur ekonomi.

“Mungkin ada perkara yang dinyatakan oleh pihak AS boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan daya saing negara. Ini menuntut lebih banyak sumber kerajaan bagi pembinaan kapasiti perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta tenaga mahir tempatan,” jelasnya.

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan mempercepatkan perbelanjaan pembangunan, menambah peruntukan jaminan perniagaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan meneroka pasaran baharu melalui rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Semua ini bertujuan memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih stabil dapat dicapai.

Mengulas mengenai usaha agresif kerajaan membuka pasaran baharu, beliau mengingatkan peralihan pasaran dari AS ke destinasi lain akan mengambil masa dan memerlukan bantuan kerajaan dari sudut pemahaman ekosistem dan sokongan teknikal.

Tambahnya, firma-firma Malaysia yang biasa dengan pasaran AS perlu memahami perundangan, praktis industri dan kehendak pelanggan di negara baharu dan ini memerlukan campur tangan strategik kerajaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu dalam Sidang Khas Dewan Rakyat.

Anwar berkata, terdapat kemungkinan AS akan mengurangkan tarif timbal balas ke atas Malaysia berjumlah 24 peratus dan ia masih berada di peringkat awal dan belum ada sebarang persetujuan muktamad kedua-dua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya