PETALING JAYA: Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) mengekalkan unjuran pendapatannya terhadap DRB-Hicom Bhd. selepas kumpulan itu kembali mencatat keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025, disokong oleh peningkatan jualan dan kecekapan kos yang lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan tersebut sejajar dengan jangkaannya namun masih di bawah anggaran konsensus, masing-masing mewakili 22.6 peratus dan 19.3 peratus daripada unjuran pendapatan bagi tahun penuh.
“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap kaunter ini dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian tidak berubah pada RM0.84.
“DRB-Hicom mencatat keuntungan bersih sebanyak RM17.7 juta bagi suku tersebut, sekali gus menamatkan tiga suku berturut-turut kerugian.
“Tanpa mengambil kira item bukan berulang, keuntungan bersih teras dianggarkan sebanyak RM28.9 juta, mencerminkan prestasi asas yang lebih kukuh.
“Penambahbaikan ini disokong kawalan kos yang lebih baik serta jualan yang lebih sihat dalam kebanyakan segmen perniagaan, menunjukkan pemulihan operasi yang positif bagi kumpulan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mengulas prospek, PublicInvest memberi amaran bahawa persaingan yang semakin sengit, khususnya daripada pengeluar automotif China yang menawarkan harga lebih kompetitif, dijangka memberi tekanan ke atas margin keuntungan serta mencabar pertumbuhan pendapatan syarikat.
Firma itu turut menjangkakan sektor automotif negara akan kembali ke paras normal pada 2025 selepas mencatat rekod prestasi cemerlang pada 2024.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan penurunan lima peratus tahun ke tahun dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi empat bulan pertama tahun ini, dengan jualan keseluruhan bagi tahun penuh dijangka susut 3.5 peratus kepada 780,000 unit.
“Permintaan yang lebih perlahan dijangka disebabkan oleh pengurangan tunggakan tempahan serta potensi kenaikan duti eksais ke atas kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
“Faktor lain termasuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan pengenalan cukai barangan bernilai tinggi,” jelasnya.-UTUSAN










