PETALING JAYA: Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Cemerlang CEO ASEAN dalam Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2025.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan berwawasan beliau dalam menerajui KPJ Healthcare ke arah menjadi sebuah organisasi berteraskan tujuan dan berfokuskan pesakit, selari dengan aspirasi ASEAN untuk pertumbuhan yang inklusif, inovatif dan mampan.
Sejak dilantik pada September 2023, beliau telah mengetuai agenda transformasi yang komprehensif, memfokuskan bukan sahaja pada prestasi kewangan, tetapi turut memberi tumpuan kepada perubahan budaya, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai untuk pemegang kepentingan.
Di bawah kepimpinannya, KPJ telah menjalankan inisiatif penjenamaan semula di peringkat kumpulan, merekodkan keputusan kewangan yang tertinggi dan membangunkan KPJ Health System – rangka kerja bersepadu yang menggabungkan kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan pendidikan perubatan di seluruh kumpulan.
KPJ Healthcare turut memperkukuh komitmennya terhadap inovasi perubatan melalui perluasan ekosistem kesihatan digital serta penerapan penggunaan teknologi canggih.
Antara inisiatif penting termasuk pelaksanaan program pembedahan robotik di rangkaian hospital KPJ bagi meningkatkan hasil klinikal, keselamatan dan pengalaman pesakit secara keseluruhan.
Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Keat Chyuan berkata, ia mencerminkan dedikasi seluruh warga KPJ Healthcare dan sokongan padu diterima daripada Lembaga Pengarah dan pemegang saham.
“Bersama-sama, kita bukan sahaja mentransformasi sistem, tetapi juga membentuk semula cara berfikir dengan menerapkan budaya kerja yang meletakkan pesakit, doktor, warga kerja, rakan strategik dan alam sekitar sebagai teras utama.
“Misi kami jelas untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berteraskan nilai kemanusiaan, dipacu data dan mampan,” katanya.
Anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf kepimpinan Keat Chyuan, malah turut mengukuhkan komitmen KPJ Healthcare dalam memajukan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia dan rantau ASEAN.
Sebagai peneraju sektor kesihatan swasta di Malaysia, KPJ Healthcare memainkan peranan penting di peringkat serantau menerusi kerjasama strategik dalam penganjuran Persidangan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, sebuah inisiatif nasional yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
MIH merupakan platform utama yang menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan, penggubal dasar dan inovator dari seluruh ASEAN bagi merangka masa depan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPJ dalam memupuk pertukaran ilmu, kerjasama serantau dan pelaburan dalam penjagaan kesihatan yang berasaskan nilai serta berfokuskan pesakit. – UTUSAN