PMB Investment agih pendapatan 4.00 sen seunit bagi An-Nur Waqf Income Fund - Utusan Malaysia

PMB Investment agih pendapatan 4.00 sen seunit bagi An-Nur Waqf Income Fund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.00 sen seunit bagi PMB An-Nur Waqf Income Fund bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025.

Agihan pendapatan tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM1.09 juta.

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM0.7193, diselaraskan kepada RM0.6793 selepas agihan.

Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 30 April 2025, mewakili hasil sebanyak 5.92 peratus berdasarkan NAB penutup seunit.

Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, PMB-An-Nur Waqf Income Fund terus memberikan pendapatan yang stabil dan mampan sambil mengekalkan modal.

“Sehingga 30 April 2025, dana ini telah mencatatkan pulangan terkumpul empat tahun sebanyak 63.71 peratus, bersamaan dengan purata pulangan tahunan 15.93 peratus.

“Prestasi ini membuktikan strategi pelaburan kami yang berdisiplin, tadbir urus yang kukuh, dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Dana ini beroperasi di bawah mandat patuh syariah, yang membenarkan sehingga 60 peratus daripada NAB dilaburkan dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh syariah.

Ia juga boleh memperuntukkan sehingga 100 peratus NAB dalam sukuk, instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam dan pelaburan lain yang dibenarkan.

Sementara itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, di samping memberikan pulangan yang kompetitif, pihaknya komited untuk menyelaraskan pelaburan dengan prinsip Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

“PMB-An-Nur Waqf Income Fund mencerminkan falsafah ini dengan membolehkan pelabur membina kekayaan sambil menyumbang kepada pembangunan sosial.

“Fokus kami bukan sahaja kepada hasil kewangan, tetapi juga kepada impak positif yang boleh diukur dalam komuniti yang kami berkhidmat,” ujarnya.

Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN