Perdana Menteri dijadual rasmi Energy Asia 2025 - Utusan Malaysia

Perdana Menteri dijadual rasmi Energy Asia 2025

Anwar Ibrahim (tengah) bersama Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (kiri) dan Naib Pengerusi S&P Global, Dr Daniel Yergin (kanan) di Energy Asia 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama dan merasmikan Energy Asia 2025 yang akan berlangsung bermula 16 hingga 18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anwar akan mengetuai delegasi Menteri-Menteri Malaysia dan akan disertai oleh rakan sejawat serantau, pembuat dasar, pemimpin industri dan profesional tenaga serta tokoh dalam bidang teknologi, kewangan dan industri yang akan menyertai persidangan tahun ini bertemakan ‘Menjayakan Peralihan Tenaga Asia’.

Selepas pelancaran rasmi Energy Asia, Anwar akan menyertai Sesi Plenari Pembukaan bertajuk ‘Masa Depan Tenaga Asia’ yang akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi S&P Global dan Pengasas CERAWeek, Dr. Daniel Yergin.

Dialog kepimpinan ini akan memfokuskan kepada kesan dinamik geopolitik, pakatan dan risiko, visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta peranan negara dalam peralihan tenaga Asia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas merangkap Pengerusi Energy Asia, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, di Energy Asia, pihaknya percaya bahawa usaha mencapai peralihan tenaga yang adil dan saksama hanya dapat dicapai melalui kerjasama global yang lebih erat merentasi ekonomi dan industri.

“Justeru itu, kami amat berbesar hati menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke edisi kedua Persidangan ini, yang memberi peluang untuk berdiskusi secara progresif mengenai aspirasi beliau terhadap masa depan tenaga Asia yang mampan dan inklusif, selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Energy Asia yang dianjurkan oleh Petronas dengan Rakan Pengetahuan, CERAWeek oleh S&P Global, bertujuan mempercepat aspirasi sifar bersih serantau melalui penyelesaian yang boleh dilaksanakan demi peralihan tenaga yang adil.

Persidangan ini akan menampilkan lebih 180 penceramah terkenal dari seluruh dunia dan dijangka menarik lebih 4,000 delegasi dari lebih 50 negara.

Antara pemimpin industri yang akan berucap di Energy Asia termasuk Setiausaha Agung, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Tuan Yang Terutama, Haitham Al Ghais, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Aramco, Amin Nasser, Pengerusi Lembaga dan CEO, TotalEnergies, Patrick Pouyanné serta Ketua Pegawai Eksekutif, PTT Exploration and Production Public Company Limited., Montri Rawanchaikul.

Menerusi lebih 50 dialog strategik yang merangkumi tujuh sub-tema, Energy Asia akan membincangkan usaha kolaboratif antara negara-negara Asia dalam meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, melaksanakan penyelesaian nyahkarbon, memudah cara pemindahan teknologi dan merangsang pembangunan ekonomi dan sosioekonomi.

Sementara itu, Taman Tenaga (Energy Park) akan menjadi pusat bagi program teknologi dan inovasi dalam persidangan ini, menampilkan platform teknologi transformatif dalam sektor tenaga dan industri berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN