KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan pembangunan bakat berasaskan teknologi, PEOPLElogy berhad merancang untuk membuka pejabat serantau di Singapura sebagai langkah awal untuk mengembangkan operasi ke Indonesia dan Filipina pada 2026.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusannya, Allen Lee berkata, syarikat yakin dengan potensi pasaran tersebut berdasarkan kajian pasaran dan sambutan positif terhadap rangka kerja 6D yang dibangunkan.
Beliau berkata, syarikat mengambil masa untuk memahami peraturan dan undang-undang tempatan sebelum pelancaran rasmi, yang dijangka pada tahun 2026.
“Kami tidak datang untuk bersaing dengan penyedia latihan sedia ada, sebaliknya mahu melengkapkan mereka dengan rangka kerja yang membolehkan mereka menjana pelbagai sumber pendapatan.
Beliau berkata demikian selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Mengulas lanjut, Allen berkata, PEOPLElogy turut membangunkan platform pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengutamakan pembinaan komuniti dan bimbingan kerjaya, bukan sekadar e-pembelajaran biasa.
“Kami mahu membantu bakat memahami potensi diri dengan lebih baik dan mempercepatkan visi kami melatih 10 juta peserta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PEOPLElogy, Cally Yau berkata, permintaan terhadap kemahiran digital di Asia Tenggara sangat tinggi dan mereka optimis dengan prospek pertumbuhan pendapatan dalam tempoh 12 hingga 36 bulan akan datang.
Menurutnya, syarikat kini menjana 99 peratus pendapatan di Malaysia dan berhasrat memperluaskan capaian ke Sabah, Sarawak serta kawasan Kuala Lumpur.
“PEOPLElogy bukan sekadar penyedia latihan, tetapi membina aspirasi kerjaya melalui hasil yang nyata,” katanya.
“Kami melihat potensi besar dalam pasaran domestik dan pasaran serantau yang masih luas untuk diterokai,” katanya.-UTUSAN










