PETALING JAYA: CIMB Securities menjangkakan sebarang kemungkinan penggabungan antara Affin Bank Bhd. (Affin) dan AMMB Holdings Bhd. (AMMB) berisiko membawa kepada pencairan ekuiti yang ketara, sekali gus menjejaskan kepentingan pemegang saham sedia ada.
Penganalisis CIMB Securities, Rachel Huang berkata, pihaknya menilai dua senario penggabungan susulan laporan media mengenai kemungkinan langkah konsolidasi antara kedua-dua institusi kewangan tersebut.
“Kami percaya setiap senario akan melibatkan penerbitan saham baharu dalam jumlah besar dan berkemungkinan besar mencairkan pegangan ekuiti sedia ada.
“Secara keseluruhan, kami tidak terlalu optimis terhadap potensi penggabungan ini. Penarafan kami terhadap sektor perbankan kekal neutral,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Sarawak berminat membeli kepentingan dalam sebuah bank lain untuk digabungkan dengan Affin, dan didakwa telah mendekati pemegang saham utama AMMB.
Kerajaan negeri ketika ini memegang 31.3 peratus saham dalam Affin, manakala Amcorp Group Bhd. (Amcorp) memiliki 11.8 peratus kepentingan dalam AMMB.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak menafikan wujud perbincangan rasmi dengan Amcorp, namun menyatakan kesediaan untuk berunding dengan mana-mana pihak yang berhasrat bekerjasama.
Menurut Rachel, dalam senario pertama, sekiranya Affin membeli AMMB pada nisbah nilai buku (P/BV) 1.0 kali, sebanyak 7.72 bilion saham baharu perlu diterbitkan pada harga pasaran RM2.60 bagi memperoleh keseluruhan pegangan dalam AMMB.
“Ini akan meningkatkan jumlah saham terbitan Affin kepada 10.25 bilion unit, berbanding 2.53 bilion pada masa ini.
“Langkah tersebut akan menyebabkan pegangan kerajaan Sarawak dicairkan kepada hanya 7.7 peratus dalam entiti baharu, manakala pegangan Amcorp meningkat kepada 8.9 peratus, menjadikannya pemegang saham utama,” jelasnya.
Dalam satu lagi senario, beliau berkata, AMMB membeli Affin pada P/BV 0.7 kali, yang akan menyaksikan peningkatan sebanyak 63.8 peratus dalam jumlah saham diterbitkan oleh AMMB.
“Harga sasaran AMMB dijangka turun kepada RM4.27 berbanding RM5.70 pada masa ini, berdasarkan unjuran pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 7.8 peratus dan P/BV saksama 0.7 kali.
“Jika pengambilalihan dibuat pada P/BV 0.6 kali, harga dijangka sekitar RM2.75 atau lebih rendah, namun pendekatan agresif sebegini mungkin tidak diterima oleh pemegang saham minoriti Affin,” ujarnya.
Di bawah senario tersebut, pegangan Amcorp dalam AMMB yang diperbesar akan dicairkan kepada 7.2 peratus, manakala kerajaan Sarawak kekal sebagai pemegang saham utama dengan pegangan menurun kepada 12.2 peratus.
Tambahnya, susulan laporan mengenai kemungkinan penggabungan itu, harga saham AMMB menyusut yang berpunca daripada sentimen negatif pasaran terhadap ketidaktentuan hala tuju strategik baharu.
“Secara keseluruhannya, kami tidak begitu teruja dengan mana-mana senario penggabungan yang sedang dipertimbangkan,” katanya. – UTUSAN